MIC Umum Pelantikan Setiausaha Agung, Pengarah Strategi Yang Baharu

Diterbitkan: Sabtu, 3 Januari 2015 5:11 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: MIC telah melantik Datuk Kumar Silambaram @ Datuk G. Kumaar Aamaan sebagai Setiausaha Agung parti dan Ramalingam Krishnamoorthy sebagai pengarah strategi yang baharu, bagi menggantikan A. Prakash Rao dan Datuk Vell Paari. 

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel turut mengumumkan pelantikan tiga anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang baharu iaitu, Karuppanan Malairaja, Datuk Ganesan Subramaniam dan Ganesan Thankaveloo. 

Pelantikan tersebut bagi menggantikan, Tan Sri K.S. Nijhar, Datuk R. Ramanan dan Datuk K.S. Balakrishnan.

Dengan perubahan dalam CWC, Jawatankuasa Disiplin MIC kini akan dianggotai oleh Karuppanan, yang akan bertindak sebagai pengerusi, Ganesan Subramaniam and Datuk Randhir Singh.

"Semua pelantikan berkuat kuasa hari ini dan saya telah mengeluarkan surat rasmi kepada semua yang berkenaan dan mereka akan menerimanya dalam masa terdekat. 

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada A. Prakash Rao, Datuk Seri Vell Paari, Tan Sri Dr K.S. Nijhar, Datuk R. Ramanan dan Datuk K. S. Balakrishnan atas perkhidmatan mereka sepanjang memegang jawatan berkenaan," kata Palanivel. 

Sementara itu, panggilan telefon Bernama kepada Prakash Rao, tidak berjawab.

Prakash Rao digantikan hanya selepas hampir setahun dilantik menjadi setiausaha agung parti itu oleh Palanivel pada 16 Dis 2013.

Sebelum itu, A.Sakthivel, yang dilantik Palanivel sebagai setiausaha agung pada 14 Mei 2013, hanya menyandang jawatan itu selama tujuh bulan apabila beliau digantikan Prakash Rao.

Sebelum Sakthivel, jawatan itu disandang S. Murugesan selepas dilantik Palanivel, tetapi beliau berundur berikutan prestasi lemah MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, Vell Paari dalam mesej melalui SMS kepada Bernama berkata kedudukannya sudah terbatal dan tidak sah disebabkan surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 5 Disember. 

Vell Paari juga mengulas kenyataan Palanivel apabila Presiden MIC itu mengucapkan terima kasih kepada beliau dan yang lain atas perkhidmatan diberi melalui jawatan yang disandang sebelum ini.

"Jelas (Palanivel) tidak boleh mengucapkan terima kasih kepada saya kerana saya telah mengkritik kepimpinan beliau," katanya.

ROS mengisytiharkan sebagai tidak sah pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC yang diadakan semasa perhimpunan agung parti di Melaka, November lepas.

Dalam surat bertarikh 5 Dis, ROS berkata pihaknya mengesyorkan supaya pemilihan semula diadakan bagi jawatan-jawatan itu dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan salah laku dan melanggar perlembagaan parti serta Akta Pertubuhan.

ROS menasihati MIC tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya sehingga isu itu diselesaikan.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan