Mangsa Banjir Di Kelantan, Pahang, Perak Dan Johor Terus Berkurangan

Diterbitkan: Sabtu, 3 Januari 2015 10:51 PM

MUSNAH … Penduduk Taman Chengal Bandar Temerloh mengeluarkan dan membersih barangan yang rosak selepas daerah Temerloh dilanda banjir luar biasa di sini, hari ini. Menurut mereka hampir kesemuanya barangan di rumahnya musnah dan rosak akibat banjir besar tahun ini. Penempatan yang berada di kawasan persisiran Sungai Pahang seperti Jerantut, Kuala Krau, Temerloh dan Bera tahun ini dilanda banjir besar selepas Taman Negara Kuala Tahan dilanda banjir luar biasa.
--fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan di Kelantan, Pahang, Perak dan Johor terus mencatatkan penurunan pada malam ini berbanding petang Sabtu. 

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir menurun kepada 9,224 orang daripada 2,189 keluarga di 88 pusat pemindahan malam ini berbanding 9,877 orang daripada 2,380 keluarga petang tadi.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan berkata jumlah mangsa banjir yang direkodkan ialah di Tanah Merah dengan 1,150 orang, Kuala Krai (3,636), Machang (2,284) dan Gua Musang (2,154).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 39,158 orang berbanding 42,703 orang petang tadi yang ditempatkan di 182 pusat pemindahan dalam tujuh daerah yang terjejas.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata tujuh daerah yang terjejas itu ialah Temerloh menempatkan 18,087 orang, Pekan (11,140), Jerantut (3,452), Bera (3,114), Maran (2,149), Kuantan (1,074) dan Lipis (142).

Di PERAK, jumlah mangsa terus menurun kepada 6,412 orang daripada 1,751 keluarga malam ini berbanding 6,653 orang petang tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata kesemua mangsa masih berada di 42 pusat pemindahan di lima daerah iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Mangsa banjir di daerah Perak Tengah menurun kepada 4,856 orang, begitu juga di daerah Kuala Kangsar (413) manakala di Hulu Perak kekal pada 725 orang, Hilir Perak (272) dan Manjung (146).

Di JOHOR, mangsa banjir berkurangan kepada 58 orang daripada 13 keluarga malam ini berbanding 86 mangsa daripada 18 keluarga petang tadi.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor masih ada empat pusat pemindahan di daerah Segamat.
 
Jurucakap pusat itu berkata bagaimanapun sejumlah 28 mangsa di Sekolah Kebangsaan Kota Dalam di daerah Batu Pahat telah dibenarkan pulang.

Namun di Terengganu dan Sabah jumlah mangsa banjir kekal seperti petang tadi masing-masing 44 dan 1,023 orang.

Di TERENGGANU, menurut portal MKN Terengganu, hanya satu pusat pemindahan banjir masih dibuka di negeri ini iaitu di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau, Dungun yang menempatkan 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Keadaan banjir di negeri itu boleh dikatakan semakin pulih sepenuhnya hari ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di empat pusat pemindahan di empat daerah yang dilanda banjir di negeri ini masih kekal 1,023 orang daripada 268 keluarga malam ini.
Tags / Kata Kunci: mangsa banjir , berkurangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan