Umat Islam Memperingati Kelahiran Nabi Muhammad SAW

Diterbitkan: Sabtu, 3 Januari 2015 1:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umat Islam pada Sabtu menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1436 Hijrah dengan acara perarakan dan berselawat sambil memperingati pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan Islam.

Sambutan peringkat kebangsaan bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi negara' berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia bermula dengan perarakan 149 kontinjen membabitkan 12,325 peserta terdiri daripada 68 pasukan jabatan kerajaan, 33 badan berkanun, 13 swasta, 10 badan beruniform, empat sekolah, enam institut pengajian tinggi dan enam kontinjen badan bukan kerajaan.

Peserta berarak sambil berselawat sejauh 1.8km bermula di hadapan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra.

Muhyiddin dalam ucapannya menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan umat Islam selain menjauhi kegiatan ekstremis demi mempastikan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri kabinet berkenaan dan perwakilan negara luar.

Di JOHOR BAHARU, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat mengetuai perarakan kira-kira satu kilometer bermula dari Istana Besar ke Masjid Sultan Abu Bakar sempena Maulidur Rasul peringkat negeri.

Perarakan 3,000 peserta melibatkan 84 kontinjen itu turut diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim.

Majlis diserikan dengan bacaan al-Quran, ceramah agama oleh Kadi Daerah Johor Baharu, Ahmad Hanif Naim serta ucapan daripada Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Aman Jaya di Meru.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Ia turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pada majlis itu, baginda menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada bekas Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Khairuddin Arshad dan Anugerah Pendakwah kepada Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohd Arib Aliah.

Di MELAKA, cuaca mendung tidak menghalang perarakan melibatkan 7,778 peserta daripada 124 kontinjen diiringi laungan selawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Perarakan dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim itu diketuai Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron. 

Idris ketika ditemui pemberita menggesa umat Islam mengambil iktibar kejayaan Rasullulah menyatupadukan umat Islam yang berbilang latar belakang bagi memastikan keharmonian negara ini dapat dikekalkan. 

Di SEREMBAN, kira-kira 10,000 umat Islam mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri mengelilingi bandar Seremban.

Dalam titahnya, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir melahirkan kebimbangan tentang penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan seperti IS yang menyalahgunakan istilah jihad sebagai alasan untuk melakukan keganasan termasuk ke atas umat Islam sendiri. 

Baginda meminta rakyat memahami nilai dan ajaran Islam yang sebenar tanpa mudah dipesongkan anasir negatif yang menyalahgunakan istilah jihad sebagai jalan pintas atau 'express lane' ke syurga. 

Di KUCHING, kira-kira 10,000 umat Islam menyertai sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diketuai pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar selain Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Masjid Jamek, Petra Jaya.

Dalam ucapannya, Adenan berkata melalui perwatakan dan akhlak yang terpuji, Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam cara dan pendekatan mengurus masyarakat majmuk di Madinah dengan adil, aman dan harmoni. 

Dalam konteks Sarawak, beliau berkata masyarakat majmuk di negeri itu merangkumi Melayu, Iban, Orang Ulu, Cina, Bidayuh, Melanau, India dan lain-lain saling memerlukan dan seharusnya boleh berkongsi kuasa secara bersama dengan adil dan seimbang.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengetuai 77 kontinjen berarak sejauh 2.4km bermula 7.30 pagi dari Dataran Shahbandar menuju Stadium Negeri dalam cuaca bergerimis.

Tengku Seri Temenggong, Raja Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, yang mewakili Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat dan merasmikan sambutan itu yang disertai 5,000 orang.

Sementara itu, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pahang tahun ini terpaksa ditangguhkan susulan musibah banjir, menurut Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Di SANDAKAN, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengetuai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini.

Perarakan dari Masjid Daerah Sandakan ke Padang Bandaran turut disertai 94 kontingen daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Prof Madya di Akademi Pengajian Islam UiTM Sabah, Dr Suwaid Tapa, 55, dipilih sebagai Tokoh Lelaki Maulidur Rasul Negeri Sabah manakala Salmah Abdullah, 58, bekas guru, dinamakan sebagai Tokoh Wanita.

Di KEPALA BATAS, lebih 2,000 umat Islam mengambil bahagian dalam perarakan sempena Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang bermula di Vision Park Ke Masjid Abdullah Fahim, di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul, Datuk Abdul Malik Abul Kassim turut berarak sejauh lebih dua kilometer sambil berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Sambutan bermula kira-kira 8 pagi dengan perarakan melibatkan 41 kontinjen mewakili agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Sementara itu, Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang turut menganjurkan majlis sambutan Maulidur Rasul 1436 Hijrah di Dewan Tunku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM), George Town.

Kira-kira 5,000 umat Islam menghadiri majlis berkenaan.


Tags / Kata Kunci: Islam , Nabi Muhammad SAW

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan