QZ8501: Indonesia Luaskan Kawasan Carian

Diterbitkan: Sabtu, 3 Januari 2015 2:09 PM

-foto AFP

(Ubah saiz teks)

PANGKALAN BUN: Pesawat menjalankan operasi carian di laut dan pesisir pantai perairan Borneo pada Sabtu untuk mencari bangkai pesawat penumpang AirAsia Indonesia, mengambil kesempatan daripada cuaca yang kembali pulih dengan harapan kotak hitam penerbangan dapat ditemui.

Airbus A320-200 terhempas di Laut Jawa pada Ahad ketika dalam perjalanan dari bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya ke Singapura dengan 162 orang di atas kapal. Tiada mangsa selamat yang ditemui.

Agensi mencari dan menyelamat Indonesia berkata kawasan carian diperluaskan pada Sabtu memandangkan serpihan penerbangan QZ8501 mungkin telah hanyut lebih dari 200 batu nautika, sambil menambah helikopter akan menumpukan carian di persisiran pantai selatan Borneo.

"Dengan kekuatan angin, ombak dan arus, kita memperluaskan kawasan carian kepada 210 batu nautika," kata Tentera Udara Lt Kol Johnson.

Para pegawai berkata, 21 mayat telah dibawa naik dari laut pada Jumaat, termasuk dua yang masih memakai tali pinggang keselamatan, menjadikan jumlah mangsa yang ditemui setakat ini 30.

Cebisan kecil pesawat dan serpihan lain juga telah ditemui, tetapi tidak ada tanda-tanda perakam suara dan data penerbangan - yang dipanggil kotak hitam, di mana penyiasat berharap penemuannya akan dapat membongkar urutan peristiwa-peristiwa dalam kokpit pada minit-minit terakhir sebelum berlakunya nahas.

Satu pasukan multinasional termasuk pakar dari agensi penyiasatan kemalangan BEA  dari Perancis yang menghadiri semua kawasan kemalangan Airbus telah berkumpul di Pangkalan Bun, bandar di selatan Borneo yang paling hampir dengan kawasan carian.

Tetapi angin kencang dan ombak setinggi empat meter (12 kaki) menghalang penggunaan beberapa peralatan canggih yang telah dibawa, termasuk peranti sonar tunda dan alat pengesan 'ping' akustik yang direka untuk mengambil isyarat dari kotak hitam.

Biro cuaca Indonesia berkata hujan diramalkan turun di kawasan carian pada lewat hari Sabtu, tetapi terdapat harapan apabila langit kelihatan cerah untuk membantu carian pada waktu pagi.

Lapan buah kapal perang pada Sabtu menjalankan carian di kawasan seluas 35 batu nautika X 45 batu nautika, saiz kawasan yang dianggap sebagai tempat yang paling mungkin untuk bangkai dan rangka pesawat hilang itu ditemui.

Laut Cetek

Punca kemalangan itu, yang pertama dialami oleh kumpulan AirAsia sejak syarikat tambang murah itu memulakan operasi pada tahun 2002 masih belum jelas.

Penyiasat bekerja berdasarkan teori bahawa pesawat itu terhenti sebaik sahaja ia meningkatkan ketinggian untuk mengelakkan ribut kira-kira 40 minit selepas penerbangan yang sepatutnya memakan masa selama dua jam.

Penerbangan QZ8501 terhempas di laut cetek, dan pakar-pakar berkata apabila cuaca pulih, usaha mencari kotak hitam sepatutnya tidak menjadi sukar jika alat pengesan isyarat beacon, dengan dengan ukuran 2,000 hingga 3,000 meter (6560 hingga 9800 kaki) dan hayat bateri kira-kira 30 hari berfungsi.

"Selepas kotak hitam ditemui, kami mampu mengeluarkan laporan awal dalam tempoh satu bulan," kata pegawai penyiasat dengan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keselamatan Pengangkutan, Toos Sanitioso,  pada Jumaat.

"Kita masih tidak boleh membuat spekulasi apa yang menyebabkan kemalangan itu."

Pesawat itu sedang terbang pada ketinggian 32,000 kaki (9,753 meter) dan juruterbang telah meminta untuk naik ke 38,000 kaki untuk mengelakkan cuaca buruk sebelum terputus hubungan. Apabila pengawal trafik udara memberikan kebenaran untuk terbang pada 34,000 kaki beberapa minit kemudian, tiada jawapan diterima.

Satu sumber yang rapat dengan penyiasatan itu berkata data pada radar menunjukkan pesawat membuat pendakian curam 'yang sukar dipercayai' sebelum ia terhempas, mungkin melepasi had kemampuan  pesawat A320 ini.

LAPORAN CUACA

Pegawai rasmi di Kementerian Pengangkutan, Hadi Mustofa Djuraid berkata kepada pemberita pada Jumaat bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan bahawa juruterbang tidak meminta laporan cuaca daripada agensi meteorologi pada masa pelepasan.

AirAsia Indonesia berkata dalam satu kenyataan bahawa laporan cuaca telah dicetak di pusat kawalan operasi di semua hab penerbangannya, termasuk Surabaya, dan diambil oleh juruterbang pesawat sebelum setiap penerbangan dilakukan.

Kapten pesawat dari Indonesia, bekas juruterbang pesawat pejuang tentera, mempunyai pengalaman 6,100 jam penerbangan di A320 dan pesawat itu kali teralhir menjalankan penyelenggaraan pada pertengahan November, menurut AirAsia Indonesia.

Kementerian Pengangkutan Indonesia pada lewat Jumaat berkata ia telah menggantung sementara penerbangan AirAsia Surabaya-Singapura kerana menjalankan perkhidmatan di luar waktu operasi yang dibenarkan.

Tags / Kata Kunci: QZ8501 , kawasan carian , AirAsia Indonesia

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan