Spekulasi Thailand Lepaskan Air Empangan Tidak Benar - Hishammuddin

Diterbitkan: Jumaat, 2 Januari 2015 6:35 PM

Hishammuddin Tun Hussein.

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, spekulasi kononnya Thailand melepaskan air empangan di daerah Sukhirin di Narathiwat hingga menyebabkan Kelantan dilanda banjir buruk, adalah tidak benar.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia menjalin hubungan dua hala yang baik dengan kerajaan Thailand dan sekiranya negara itu mahu melepaskan air di empangan, sudah pasti ia akan memaklumkannya kepada Malaysia.

"Kita (Malaysia) mempunyai hubungan dua hala yang erat dengan negara jiran Thailand dan kita tidak percaya situasi (lepaskan air empangan) tersebut berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Balai Besar, di sini Jumaat.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam.

Sebelum ini, spekulasi tersebar luas di laman sosial WhatsApp bahawa Kelantan akan ditenggelami air banjir berikutan pelepasan air empangan di daerah Sukhirin di Narathiwat.

Bagaimanapun pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Setiausahanya, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menafikan perkara itu dan mengesahkan bahawa semakan yang dilakukan dengan Jabatan Pengairan Diraja Thailand, mendapati empangan itu tidak wujud.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan