Isteri Juruterbang MH17 Hasrat Sambung Legasi Suami Hulur Bantuan

Diterbitkan: Jumaat, 2 Januari 2015 12:30 AM

wan amran

Mariyam (kiri) berhasrat untuk meneruskan legasi suaminya, Allahyarham Kapten Wan Amran (kanan) dalam menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. Foto ihsan Mariyam Yusoff

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun ditimpa dugaan besar berikutan kehilangan insan tersayang, isteri kepada juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, berhasrat menyambung legasi suami yang semasa hayatnya merupakan seorang dermawan, dalam menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

Allahyarham Kapten Wan Amran yang terbabit dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu, merupakan antara penyumbang utama bagi rumah perlindungan untuk kanak-kanak yatim/piatu pembawa virus HIV, POSHe.

Mariyam Yusoff berkata, suaminya merupakan seorang yang suka menolong orang lain dan memberi sumbangan kepada rumah kebajikan menjadi sebahagian daripada amal jariahnya.

Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.

Tambahnya, beliau sebelum ini banyak memberi sokongan terhadap niat suci suaminya dalam membela nasib anak-anak yatim/piatu yang berhadapan dengan ujian selain masih menjadi mangsa diskriminasi segelintir masyarakat hari ini.

“Saya memang berhasrat untuk beri sumbangan kepada POSHe pada masa akan datang. Saya nak beri sebab mereka (penghuni POSHe) adalah anak-anak yatim. Anak-anak saya pun dah jadi anak yatim juga.

“Sumbangan itu nanti mungkin sedikit dan tidak menyamai nilai yang diberikan arwah semasa hayatnya, tetapi sekurang-kurangnya saya ikhlas dan mahu meneruskan legasi arwah dalam menghulurkan bantuan,” katanya kepada mStar Online dengan nada sebak.

Ibu kepada dua anak ini berkata, beliau ketika ini hanya bergantung hidup dengan pampasan caruman suaminya dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara purata RM2,500 sebulan, selain turut menggunakan wang simpanan.

“Buat masa ini memang susah untuk saya biayai perbelanjaan seharian tetapi saya perlu teruskan kehidupan bersama anak-anak. InsyaAllah jika diizinkan, memang saya nak bantu mereka di rumah perlindungan itu,” katanya.

Kenangan... Allahyarham Kapten Wan Amran (kanan) bersama isteri, Mariyam (kiri) bersama anak-anak, Wan Yunus Uzair (hadapan, kiri) dan Wan Yusuf Irfan.

Mariyam turut berkongsi pengalaman menemani arwah membeli peti sejuk di Shah Alam untuk disumbangkan kepada rumah perlindungan itu pada 2009.
 
“Selain sumbangan kewangan kepada POSHe, arwah juga ada berikan pelbagai bentuk barangan seperti peti sejuk. Oleh kerana jadual penerbangannya yang sibuk, arwah minta kedai itu buat penghantaran terus peti sejuk berkenaan ke rumah POSHe,” katanya yang kini memberi perhatian penuh buat kedua-dua anak lelakinya, Wan Yunus Uzair, 11, dan Wan Yusuf Irfan, 9.
 
Mstar Online pada Rabu lalu melaporkan POSHe membawa amanat dua penyumbang utamanya iaitu Allahyarham Kapten Wan Amran dan juga juruterbang MH370 yang terbabit dalam nahas pada 8 Mac lalu, Kapten Zaharie Ahmad Shah, untuk meneruskan perjuangan dalam membela nasib kanak-kanak kurang bernasib baik.

Menurut Yang Dipertua POSHe, Mohd Fakhrul Azizi Abdul Kadir, rumah perlindungan itu mempunyai rancangan untuk membangunkan bangunan baharu bagi menempatkan lebih ramai kanak-kanak yatim/piatu pembawa virus HIV.

Mariyam kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada dua anak lelakinya.

Mariyam berkata, beliau mengalu-alukan rancangan itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk membela nasib mereka dari segi perlindungan dan kebajikan yang lebih baik.

Apabila bangunan baharu rumah perlindungan itu siap dibina kelak, POSHe turut merancang untuk mewujudkan tanda peringatan dan replika pesawat MAS buat dua juruterbang ini bagi menghargai jasa mereka sebagai dermawan.

Dalam nada suara tersekat-sekat menahan sebak, Mariyam meluahkan perasaannya yang begitu terharu di atas rancangan baik POSHe dalam memberi penghargaan buat suaminya.

“Saya rasa sebak. Saya memang terharu bila ada pihak yang hargai dia. Apa sahaja yang baik buat rumah perlindungan ini dan arwah, saya sangat menyokong dan berterima kasih,” katanya yang tidak dapat menggambarkan perasaannya ketika itu.

Tags / Kata Kunci: MH17 , MH370 , POSHe , MAS

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan