Sorotan: Dua Kemalangan Buat MRT 'Serik', Pertingkat Keselamatan

Diterbitkan: Khamis, 1 Januari 2015 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUA insiden menggemparkan di tapak pembinaan MRT pada 2014 ternyata menjadi 'penggera' kepada syarikat Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) supaya memberikan lebih tumpuan terhadap aspek keselamatan di tapak projek.

Bermula dengan kejadian sekeping papak logam jatuh di atas kereta BMW di tapak pembinaan berhampiran Pusat Bandar Damansara pada Jun, dua bulan kemudian negara sekali lagi dikejutkan dengan berita tragis apabila tiga pekerja Bangladesh maut dihempap konkrit, di tapak pembinaan stesen MRT  Damansara.

Kereta yang rosak teruk dan kematian Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik bukan sahaja mencetuskan rasa simpati orang ramai terhadap mangsa, tetapi secara tidak langsung telah menimbulkan rasa bimbang di kalangan orang awam yang sering lalu-lalang di sepanjang kawasan berhampiran tapak pembinaan MRT.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak berkata, sememangnya dua insiden tidak diingini yang berlaku di tapak pembinaan MRT pada 2014 telah memberi pengajaran kepada syarikat itu supaya perhatian yang lebih diberikan terhadap aspek keselamatan, sama ada melibatkan pekerja atau orang awam.

Katanya, walaupun MRT Corp mempunyai polisi dan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sendiri, kemalangan yang berlaku telah membawa mereka 'melangkah' ke satu peringkat di mana kelemahan-kelemahan dari aspek keselamatan sedia ada perlu dikenal pasti, dicungkil dan ditangani segera.

Berpegang kepada langkah-langkah keselamatan yang telah dipertingkatkan selepas berlakunya tragedi tersebut, beliau kini optimis dan yakin risiko kemalangan ketika proses menyiapkan projek MRT yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2017 itu mampu dikurangkan.

"(Kematian) Memang satu kehilangan yang tak sepatutnya, jika sistem kerja diikut, ada penyelia, maka tak patut ada kemalangan dan kematian.

"Tapi, selepas apa yang berlaku, saya ingin kata bahawa tahap keselamatan kita sentiasa baik dan rekod keselamatan MRT Corp juga masih baik, berbanding dengan projek-projek lain di sekitar Lembah Klang.

"Kita terus berusaha meningkatkan keselamatan, kurangkan risiko kepada orang awam dan pekerja, dalam masa sama menepati KPI untuk menyiapkan projek Line 1 pada Disember 2016 dan Line 2 pada Julai 2017," katanya kepada mStar Online.

Menurut Amir, memasuki tahun 2015 dan tahun-tahun seterusnya, risiko kemalangan tetap ada sehinggalah tamat pembinaan walaupun kerja-kerja sivil (pembinaan) untuk keseluruhan projek telah siap melebihi 90 peratus.

Dari segi keseluruhan projek pembinaan Line 1 yang menghubungkan Sungai Buloh-Kajang, ia telah siap 55.2 peratus setakat Oktober 2014, seperti yang dijadualkan.

Projek Line 2 yang menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dijangka akan bermula pada November 2015.

Mengenai risiko keselamatan lain yang mungkin dihadapi orang awam, pekerja binaan dan MRT Corp sendiri dalam peringkat kerja seterusnya, beliau berkata, risiko baharu akan wujud selepas kerja-kerja sivil berakhir dan akan diambil alih oleh kerja-kerja sistem yang telah bermula dan akan dijalankan sepenuhnya di semua jajaran pada Jun 2015.

"Risiko tetap ada sebab kerja-kerja dilakukan di tempat tinggi, tetapi penggunaan simen, konkrit, besi misalnya sudah berkurang... cuma risiko berubah dan pelaksanaan langkah-langkah juga berbeza.

"Kita masih menekankan keselamatan kerja-kerja sivil, tetapi kita juga tekankan keselamatan lain dalam kerja-kerja sistem yang melibatkan penggunaan alat-alat elektrik berkuasa tinggi dan kimpalan yang sofistikated," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat tersebut, kerja-kerja perlu dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan dan aspek pengawasan serta seliaan tugas juga perlu diberi perhatian.

Mengakui tidak mudah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai yang sentiasa bimbang akan keselamatan mereka ketika berada berhampiran tapak pembinaan ekoran insiden yang berlaku, beliau berkata, ia sebenarnya mampu dilakukan dengan membuktikan bahawa insiden yang tidak diingini telah berkurangan.

"Mereka tak nampak langkah dan usaha kita, tapi apabila berkurangnya insiden, orang ramai akan yakin.

"Bila orang tengok projek semakin siap, kerja-kerja sivil telah beralih kepada kerja sistem mengikut jadual mereka akan semakin yakin bahawa risiko keselamatan tak lagi setinggi dahulu," katanya.

Amir berkata, untuk fasa pembinaan seterusnya, terdapat dua kawasan pembinaan telah dikenal pasti sebagai berisiko tinggi kerana mempunyai kepadatan penduduk serta terletak berdekatan laluan awam yang memberi impak sosial.

Kawasan tersebut adalah dari persimpangan Bukit Kiara ke persimpangan Jalan Duta dan di Plaza Phoenix yang melibatkan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 dan Lebuhraya Grand Saga.

"Kita telah adakan pertemuan dan berbincang dengan penduduk sekitar kawasan itu. Beberapa persetujuan telah dicapai melibatkan kerja-kerja pembinaan di luar waktu kerja yang ditetapkan," katanya.

Katanya, untuk kerja-kerja pembinaan di bawah tanah melibatkan laluan sepanjang 9.5 kilometer, risiko keselamatan terhadap orang awam adalah berkaitan mendapan tanah di laluan formasi batu kapur, namun sehingga kerja-kerja pembinaan siap 70 peratus, insiden tersebut berjaya dikawal.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada warga kota yang telah memberikan kerjasama sepanjang dua tahun projek itu dijalankan dan berharap agar mereka terus bersabar sehingga pembinaan selesai.

Tags / Kata Kunci: MRT , Damansara , MRT Corp , Lembah Klang

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan