POSHe Penuhi Amanat Juruterbang MH370, MH17

Diterbitkan: Rabu, 31 Disember 2014 12:30 AM

Rumah perlindungan POSHe membela nasib kanak-kanak yatim/piatu pembawa virus HIV.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua insiden tragik yang menimpa juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan MH17 tidak mematahkan semangat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus membela nasib kanak-kanak yatim/piatu pembawa virus HIV yang sememangnya dekat dihati mangsa nahas terbabit.


Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dilaporkan hilang dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu dan kehilangannya terus menjadi misteri sehingga kini, manakala pada 17 Julai lalu, pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine dalam penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Walaupun kehilangan mereka ditangisi seluruh dunia namun rumah perlindungan di bawah Pertubuhan Perlindungan Pembawa HIV Positif Kuala Lumpur dan Selangor (POSHe) membawa semangat dua juruterbang nahas itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah (MH370) dan Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin (MH17), untuk membela golongan kurang bernasib baik dengan mewujudkan bangunan baharu pada masa akan datang.

Kedua-dua mereka merupakan penyumbang utama bagi rumah perlindungan itu yang terletak di Kampung Bukit Kerayong, Kapar, Selangor.

Kapten Zaharie Ahmad Shah (kiri) dan Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin merupakan penyumbang utama rumah perlindungan POSHe.

Yang Dipertua POSHe, Mohd Fakhrul Azizi Abdul Kadir dalam satu temuramah bersama mStar Online berkata, pesanan Allahyarham Kapten Wan Amran masih terpahat diingatan: “Walau apapun yang terjadi, teruskan perjuangan. Jangan tutup, teruskan POSHe sampai bila-bila.”

Mohd Fakhrul menambah, Kapten Zaharie juga pernah berpesan: “Teruskanlah matlamat (membangunkan POSHe), jangan buat separuh jalan.”

Beliau berkata, POSHe sedang menunggu kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi mendapatkan tanah wakaf untuk tapak bangunan baharu rumah perlindungan itu.

Tambahnya, tapak baharu itu berkeluasan 0.8 hektar di Rantau Panjang, Kapar di Klang dan peruntukan untuk membina bangunan tersebut dianggarkan kira-kira RM500,000.

“Di tempat sekarang, sewa perlu dibayar, ruang pula terhad untuk menampung 11 penghuni berusia antara 12 hingga 17 tahun dan ada antaranya Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Berdasarkan perancangan, bangunan baharu ini dapat menampung antara 100 sehingga 150 orang yang sudah tentu memberi lebih keselesaan kepada penghuni.

“Lebih ramai kanak-kanak yatim/piatu pembawa HIV akan terus dilindungi. Semua penghuni merupakan pesakit dari Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya sambil menambah bahawa kapasiti bangunan baharu yang lebih besar itu  membolehkan pesakit-pesakit dari hospital lain yang berdekatan boleh menghuni POSHe.

Sebahagian penghuni dalam sesi bersama pengurus rumah perlindungan POSHe, Helmi Abdullah (berdiri, kanan) dan pembantunya, Elin Jamal.

Allahyarham Kapten Wan Amran menjadi penyumbang sejak awal penubuhan rumah perlindungan itu pada 2009 yang ketika itu beroperasi di Cheras, diikuti Kapten Zaharie pada 2011.

Kedua-dua mereka diperkenalkan oleh Setiausaha POSHe pada ketika itu, Mohd Reza Abidin yang kini bergelar kapten, juga seorang juruterbang MAS.

Mengimbas kembali, katanya Allahyarham Kapten Wan Amran dan Kapten Zaharie bukan sahaja menyumbang wang ringgit dan barangan bahkan sokongan moral bagi memastikan POSHe terus bangun membela golongan kurang bernasib baik itu. 

Mohd Fakhrul mendedahkan bahawa pertubuhan itu pernah menjadi mangsa penipuan kontraktor pada awal 2013 bagi membina bangunan baharu POSHe di lokasi sekarang, yang berpindah atas faktor kesihatan penghuni yang dinasihatkan doktor.

“Kontraktor binaan cabut lari ketika kerja-kerja pembinaan separuh jalan. Kami terpaksa menanggung kerugian dianggarkan lebih RM20,000. Kami hampir putus asa.

"Namun arwah Kapten Wan Amran dan Kapten Zaharie banyak memberi semangat dan sumbangan untuk meneruskan perjuangan POSHe. Mereka kata: ‘Jangan takut, kalau tak ada duit, kita boleh cari duit. Rezeki ada di mana-mana, InsyaAllah.”

Mohd Fakhrul Azizi Abdul Kadir.

Sebagai penghargaan, Mohd Fakhrul berkata, POSHe merancang untuk mewujudkan tanda peringatan buat dua penyumbang utama ini apabila bangunan baharu rumah perlindungan itu siap dibina.

“Kami juga mungkin akan membuat replika pesawat MAS untuk diletakkan di rumah perlindungan sebagai tanda penghargaan kepada dua juruterbang ini dan kisah mereka sebagai dermawan akan terus dikenang. 

“InsyaAllah, kita akan berbincang bersama exco mengenai perkara ini. Tumpuan kita sekarang adalah dana untuk memastikan POSHe terus beroperasi dan projek bangunan baharu dapat dilaksanakan.

"Kami berharap semua pihak sudi menyalurkan sumbangan ikhlas kepada POSHe, tidak kira kerajaan, syarikat swasta, badan-badan korporat mahupun perseorangan. Bantuan anda amat kami perlukan demi kehidupan dan survival kanak-kanak istimewa ini dalam menjalani kehidupan seperti insan lain,” katanya.


iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan