Banjir: Mindef Kerjasama Dengan Kementerian Kerja Raya Baiki Jalan

Diterbitkan: Selasa, 30 Disember 2014 3:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama untuk membaik pulih jalan raya dan jambatan yang rosak akibat banjir untuk mempercepatkan proses penghantaran bantuan makanan kepada mangsa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyatakan persetujuan dengan langkah berkenaan.

"Perkara menjadi kebimbangan saya pada masa ini adalah jalan terputus yang menyebabkan sukar untuk kita hendak menghantar bekalan makanan. Kita terpaksa menggunakan helikopter yang penggunaannya bergantung kepada cuaca.

"Saya akan buat tinjauan untuk mengesan jalan raya terjejas bagi mengambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat OP Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara TUDM Kuantan di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi dan Panglima Empat Briged Mekanize, Brig Jen Datuk Ahmad Tajuddin Abd Ghani.

Sementera itu, Hishammuddin berkata pihaknya akan mewujudkan sebuah lagi pusat pengumpulan barangan bantuan di Ipoh bagi memudahkan bantuan sampai dengan lebih cepat kepada mangsa.

Pada masa ini katanya pusat pengumpulan barangan bantuan kepada mangsa hanya terdapat di Subang, Butterworth dan Batu Berendam.

Ditanya sama ada bilangan aset Kementerian Pertahanan mencukupi bagi menghantar bantuan kepada mangsa banjir, beliau berkata pihaknya turut meminta bantuan pesawat MasKargo dan AirAsia bagi melaksanakan misi tersebut.

Selain itu, Hishamuddin turut menyambut baik saranan supaya anggota sukarelawan di setiap agensi kerajaan digerakkan bagi membantu membersihkan operasi pasca banjir.

"Pembersihan pasca banjir perlu dilakukan segera kerana bimbang akan menjejaskan kesihatan mangsa banjir dan bagi memastikan sekolah-sekolah yang menjadi pusat pemindahan banjir dapat digunakan pada sesi persekolahan akan datang," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mindef , Tentera , Banjir , Kelantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan