Banjir: Hospital Kuala Krai Tempat Berlindung Penduduk Tiada Rumah

Diterbitkan: Isnin, 29 Disember 2014 1:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA KRAI: Demi membantu mangsa-mangsa banjir yang tidak mempunyai arah tujuan selepas kediaman mereka ditenggelami air, Hospital Kuala Krai (HKK) bertukar menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memberi perlindungan kepada mereka.

Pemangku Pengarah HKK Dr Nik Mohd Faizal Zainal Abidin berkata, walaupun ia sedikit sebanyak mengganggu operasi, tetapi atas nama kemanusiaan dan sikap prihatin, pihak pengurusan bukan sahaja bersetuju menyediakan tempat berlindung, malah staf hospital turut berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.

"Ini adalah kali pertama HKK menjadi pusat perlindungan yang sepatutnya bukan tanggungjawab kita. Tetapi, bagi kami pihak pengurusan, ia bukan alasan untuk menolak kehadiran mangsa-mangsa banjir ini.

"Memang ada sedikit terjejas operasi seperti katil-katil yang sepatutnya dikhususkan untuk pesakit, kami berikan kepada mangsa-mangsa banjir. Tetapi tidak mengapa, malah kami cuba memberi mereka apa yang ada di hospital seperti air panas, makanan, malah pakaian pesakit untuk jadi persalinan mereka," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat beberapa keluarga yang terpaksa menjadikan HKK sebagai tempat berlindung kerana PPS berdekatan sukar diakses ekoran jalan dinaiki air.

Mereka terpaksa menjadikan surau, balai pelawat dan ruang menunggu di hospital itu sebagai tempat perlindungan sementara.

Suri rumah Fazlina Musa, 40, berkata mereka tidak ada pilihan lain kerana pusat perlindungan sementara di bandar ini, iaitu di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai ketika itu sudah pun dinaiki air.

Mengimbas kembali pengalamannya yang mencemaskan pada Isnin lepas, Fazlina yang sudah enam hari berlindung di HKK berkata, beliau dan keluarganya sudah mendapat makluman daripada radio bahawa kawasan kediaman mereka akan dinaiki air.

"Pada Isnin, keadaan macam biasa dan tak ada tanda-tanda air akan naik.

Tapi malam itu ada info banjir kali ini lebih besar daripada biasa. Dan pagi itu juga sekitar 1 pagi, air sudah mula naik dan kami lari ke kedai mak saya di bandar.

"Tetapi sungguh kami tak sangka, sewaktu di kedai, air naik dengan pantas dan mencecah paras satu kedai kami. Saya terpaksa menghulurkan anak saya ke bot Polis melalui tingkap manakala, yang dewasa terpaksa menyelam melalui tingkat bawah sebab itu sahaja laluan yang boleh diguna. Nak lompat ke bot memang bahaya," katanya lagi.

Sepanjang beberapa hari di HKK, Fazlina berkata pihak hospital sangat prihatin dan sentiasa memastikan bekalan makanan dan pakaian kering ada untuk kegunaan seharian beliau dan keluarganya.

Dalam pada itu, Dr Nik Mohd Faizal berkata, operasi dan perkhidmatan hospital masih berjalan seperti biasa walaupun akses utama ke hospital itu terganggu akibat banjir dengan bekalan elektrik dan air bersih yang terhad.

Walaupun akses utama ke HKK terganggu akibat dinaiki air dan diburukkan lagi dengan bekalan elektrik dan air bersih yang terhad, beliau berkata, operasi dan perkhidmatan masih berterusan.

Menurutnya, keadaan banjir yang sedikit surut turut memudahkan pemindahan pesakit kritikal seperti dari wad unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan rapi jantung (CCU) dan pediatrik (kanak-kanak), ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menggunakan bot dan helikopter.

"Air mulai surut pada hari kelima (semalam) dan orang ramai dah boleh akses ke sini. Walaupun bekalan elektrik masih terganggu, generator kita masih berfungsi.

"...dan kita sentiasa mendapat bekalan diesel secara berkala dari kerajaan persekutuan dan negeri, melalui pihak Bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk memastikan hospital kekal berfungsi," kata Dr Nik Mohd Faizal.

Sementara itu, beberapa jururawat yang ditemui berkata, terdapat dalam kalangan rakan setugas di HKK yang terpaksa bekerja secara berterusan selama seminggu ekoran kesukaran untuk bertukar syif.

"Namun, tiada apa yang perlu dirungutkan kerana ini sememangnya tugas hakiki kami. Apa yang kami harapkan, semoga keadaan di hospital diberi perhatian secara berterusan, dan juga agar bandar ini kembali pulih seperti biasa," kata seorang jururawat kepada Bernama ketika dalam perjalanan ke hospital menaiki bot tentera.

Tinjauan mendapati bandar Kuala Krai, yang sebelum ini terjejas teruk akibat ditenggelami air setinggi bangunan dua tingkat, kini beransur pulih apabila air mulai surut.

Kelihatan peniaga-peniaga mula membersihkan premis mereka dari kesan lumpur teruk, dan orang ramai mula keluar ke bandar untuk melakukan aktiviti seharian walaupun agak terbatas.

Paras air sebelum ini menaiki Pasar Besar Kuala Krai, hingga hampir mencecah paras bumbung, tetapi kini jalan di hadapan pasar itu sudah boleh dilalui mengguna kenderaan pancuan empat roda.

Berapa jalan di sekitar bandar itu sehingga kini masih diselaputi lumpur tebal kesan daripada bencana itu.

Walaupun begitu, laluan dari Machang ke bandar ini melalui jalan utama Kota Baharu-Gua Musang masih terganggu dengan beberapa jalan di sekitar Kampung Keroh, Sungai Durian dan Guchil hanya boleh diakses menggunakan bot.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diilhat masih menjalankan keja-kerja menghulurkan bantuan kepada mangsa menggunakan trak tentera Handalan I dan II serta bot-bot untuk menyeberangi kawasan yang dinaiki air.

Tags / Kata Kunci: Banjir , Kelantan

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan