Beg Tidur, Powerbank Perlu Dimasukkan Dalam SOP MKN - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Ahad, 28 Disember 2014 10:18 PM

Ahmad Shabery Cheek memangku anak Allahyarham Suhaimi Awang, Muhammad Aqil Amsyar, 4, dan NurIntisar Iztihar, 6, ketika berkunjung ke rumah keluarga pasangan suami isteri yang lemas iaitu Allahyarham Suhaimi Awang dan Allahyarhamah Norhayati Sulong di Taman Geliga Intan pada Ahad. Foto: BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menambah beg tidur dan powerbank dalam bekalan bantuan kepada mangsa banjir pada masa akan datang. 

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kedua-dua barangan itu perlu dimasukkan dalam penyediaan prosedur operasi standard (SOP) kerana ia sebahagian daripada pengurusan bencana alam seperti banjir.

"Ada dua perkara yang saya cuba di sini (Kemaman) ternyata berkesan, pertama beg tidur kerana ia lebih praktikal dan boleh menjadi tikar serta selimut dan memudahkan proses penghantaran menggunakan lori sehingga boleh memuatkan kira-kira 1,000 beg tidur dalam satu-satu masa.

"Kalau kita hantar tilam sudah semestinya ia memakan ruang dan proses penghantaran juga menjadi terhad," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan barangan keperluan asas kepada keluarga anggota polis yang menjadi mangsa banjir di kuarters polis, Bukit Mentok, di sini.

Ahmad Shabery berkata power bank pula amat penting untuk mengecas bateritelefon bimbit ketika terputusnya bekalan elektrik atau berlaku bencana alam seperti banjir.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman turut melahirkan rasa sedih kepada enam anak pasangan Allahyarham Nur Hayati Sulong, 37, dan Suhaimi Awang, 37, yang ditemui mati lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Kampung Geliga Che Akob, Kemaman, di sini, Rabu lepas.

"Sekarang saya sedang berbincang dengan ahli keluarga mereka untuk apa jua bentuk bantuan yang akan diberi selain berbincang dengan kerajaan negeri.

"Selain itu, saya akan bawa perkara ini kepada kabinet tentang apa jua sokongan dan tanggungjawab yang boleh kita ambil bersama atas kemalangan yang menimpa ibu bapa mereka," katanya selepas menziarah enam anak arwah di TamanGeliga Intan pada Ahad.

Beliau berkata kerajaan telah berusaha membuat persiapan yang begitu rapi untuk mengelak sebarang tragedi tetapi malangnya ia masih berlaku dan amat mendukacitakan. 

Tags / Kata Kunci: powerbank , beg tido , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan