2,515 Pencawang Elektrik TNB Dihentikan Sementara Kerana Banjir

Diterbitkan: Sabtu, 27 Disember 2014 10:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,515 Pencawang Elektrik (PE) terpaksa dihentikan sementara di negeri-negeri yang teruk dilanda banjir setakat 4 petang Sabtu, berbanding 2,473 pada 9 pagi tadi.

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2) Bahagian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) Abdul Aziz Abdul Majid, berkata 1,860 PE adalah di Kelantan manakala 152 lagi di Terengganu, 424 di Pahang dan 79 di Perak.

"Penghentian operasi pencawang-pencawang ini adalah bagi menggelakkan kejadian litar pintas," kata Abdul Aziz yang juga Ketua Koordinator Pengurusan Banjir TNB dalam kenyataan di sini.

TNB juga telah memulihkan operasi di 421 PE di kawasan yang air banjir telah surut dan selamat iaitu 260 PE di Kelantan, Terengganu (36), Pahang (105) dan Perak (20).

Menurutnya, penghentian operasi PE sehingga petang ini melibatkan 179,466 pengguna iaitu meningkat daripada 155,383 pengguna pada 9 pagi Sabtu.

Jumlah pengguna paling ramai terjejas ialah di Kelantan iaitu sebanyak 151,610, diikuti Pahang (19,357), Terengganu (5,754) dan Perak (2,745), katanya.

Sehingga kini, TNB telah memasang 57 set janakuasa ke kawasan yang penting dan pusat perpindahan mangsa banjir yang boleh dilalui kenderaan di Terengganu, Pahang, Perak dan Kelantan dengan 38 daripadanya sedang beroperasi.

"Di Kelantan, kami menghadapi kesukaran untuk menghantar dan mengoperasikan set janakuasa kerana keadaan banjir yang masih berlanjutan dan jalan yang boleh dilalui masih terhad.


Tags / Kata Kunci: pencawang elektrik , TNB , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan