Henti Sebar Berita Palsu Tentang Banjir

Diterbitkan: Sabtu, 27 Disember 2014 2:50 PM

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Pengguna media sosial diingatkan supaya tidak menyebarkan, memuat naik atau berkongsi status berbentuk spekulatif mengenai banjir tanpa berpandukan fakta daripada sumber-sumber yang sahih.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata, "Kami telah berulang kali mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi atau 'forward' berita yang tidak ditentusahkan kerana perbuatan seperti ini mungkin mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat."

Menurut beliau, pada waktu yang kritikal seperti ini, maklumat palsu yang disebarkan ini hanya akan menyulitkan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

"Ia akan menyebabkan kekeliruan dalam operasi bantuan. Bukan itu sahaja, ahli keluarga mereka yang terkandas juga akan bertambah risau dan panik. Niat untuk membantu dengan menyampaikan maklumat memang baik, tetapi sebelum menyebarkan sebarang berita, tanyalah diri sendiri sama ada ianya akan benar-benar membawa kebaikan atau menambah buruk keadaan," jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, MCMC bersama-sama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi sedang giat menjalankan usaha-usaha membaik pulih dengan menggunakan 'generator set' atau 'genset' serta kenderaan 'Cellular on Wheels' atau COW di kawasan yang tidak ditenggelami air.

"Orang ramai juga diminta untuk mengurangkan penggunaan telefon selular di kawasan banjir bagi menjimatkan bateri supaya telefon selular mereka dapat bertahan lebih lama. Jika berlaku kecemasan, ianya boleh digunakannya untuk meminta bantuan," kata beliau lagi.

Tags / Kata Kunci: MCMC , Banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan