Badrul Hisham Tamat Kayuhan Dari London

Diterbitkan: Sabtu, 27 Disember 2014 11:43 PM

TERCAPAI... Graduan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Sheffield, Badrul disambut meriah oleh keluarga dan sahabat handai setelah memenuhi impiannya berbasikal dari London ke Malaysia sejauh 11,000 km dan tiba di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada Sabtu - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

BUKIT KAYU HITAM: Setelah mengayuh basikal hampir lima bulan melibatkan jarak 11,000 km, seorang rakyat Malaysia pada Sabtu tiba di tanah air untuk menamatkan program kayuhannya dari London.

Badrul Hisham Burhanuddin, 24, yang menamatkan pengajian peringkat Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Sheffield, United Kingdom pada Julai lalu, tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam di sini kira-kira pukul 3 petang Sabtu.

Ketibaannya di pintu masuk sempadan negara disambut bapanya Burhanuddin Mohd Alipiah, 53, dan ibunya Rapiah Ibrahim, 62, serta ahli keluarga yang lain.

Anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Klang, Selangor ini berkata beliau mengambil masa lapan jam untuk berkayuh sejauh 100 kilometer sehari bagi melintasi 18 negara lain seperti England, Perancis, Iran, Turki, Vietnam dan Thailand sebelum tiba di negara ini.

Beliau berkata misi kayuhan tersebut dilakukan bagi mengutip dana untuk membantu rumah anak-anak yatim di negara ini dan sumbangan untuk Tabung Gaza.

Badrul Hisham berkata setakat ini sebanyak RM3,500 telah berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan orang ramai.

"Untuk misi ini saya menggunakan wang sendiri dan sumbangan rakan-rakan sebanyak RM8,000 dan terpaksa berjimat cermat untuk jayakan misi ini. Saya hanya makan pasta setiap hari dan tidur dalam khemah," katanya kepada pemberita di Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam pada Sabtu.

Katanya kayuhannya pada awalnya ditemani empat rakan yang lain, di mana tiga daripadanya berpecah dan kini berada di sekitar Turki manakala beliau dan seorang lagi rakan Mohd Hafiz Hamid, 22, dari Kolej Profesional Mara, Beranang yang dikenalinya di laman sosial Facebook melakukan kayuhan bersama-sama untuk sampai ke negara ini.

"Ada masa kami berkayuh bersama dan ada kalanya kami tidak bersama dan hanya berjumpa di lokasi 'check point' sahaja. Siapa yang sampai awal mereka akan dirikan khemah dan sediakan makanan.

"Sampai di Thailand kami (beliau dan Mohd Hafiz) berpecah di Hatyai dan dia ke sempadan Perlis dan saya ke Bukit Kayu Hitam untuk pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya.

Badrul Hisham berkata setiap hari beliau mula berkayuh kira-kira pukul 7 pagi dan berakhir kira-kira pukul 5.30 petang dan tidak boleh berkayuh pada waktu malam kerana faktor keselamatan.

Beliau berkata misinya turut mendapat sokongan daripada ahli keluarganya dan sering berhubung menerusi 'online' bagi memaklumkan kedudukan dan tahap kesihatan kepada keluarganya.

Katanya sepanjang perjalanan beliau terpaksa menempuhi pelbagai cabaran seperti rantai basikal terputus, hampir diculik dan dirompak ketika melalui beberapa negara seperti Turki dan Thailand.

Beliau berkata pada 10 September lepas, beliau hampir dirompak dan diculik oleh sekumpulan lelaki ketika melalui bandar Adana, Turki tetapi terselamat selepas mendapat perlindungan di sebuah stesen minyak.

"Saya pernah keracunan makanan dan hampir putus asa untuk meneruskan misi ini. Namun sokongan keluarga membuatkan saya berusaha untuk meneruskan misi ini sehingga berjaya.

"Syukur Alhamdulillah saya berjaya selesaikan misi ini. Selepas ini saya berhasrat untuk berbasikal ke Gunung Everest bagi membuktikan kemampuan rakyat Malaysia untuk mencipta kejayaan," katanya.
Tags / Kata Kunci: Badrul Hisham Burhanuddin , kayuhan , London

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan