Polis Nafi 10 Mati Lemas Di Kuala Krai

Diterbitkan: Jumaat, 26 Disember 2014 10:09 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Polis Kelantan menafikan khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial kononnya 10 orang dipercayai mati lemas akibat terperangkap di dalam rumah di Guchil, Kuala Krai akibat banjir.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim turut menyifatkan sebagai berita palsu kononnya 40 pesakit di Hospital Kuala Krai mati akibat ketiadaan bantuan oksigen.

"Mesej-mesej (melalui aplikasi) WhatsApp yang tidak betul ini tidak sepatutnya diviralkan kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan. Sepatutnya mereka ini membantu mangsa-mangsa berkenaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang membuat fitnah dan cerita bukan-bukan itu.

"Pihak polis memantau perkara ini supaya ianya tidak menjadi masalah semasa banjir ini," katanya.

Mazlan berkata pihaknya penyebaran maklumat tanpa memetik sumber sah merupakan kesalahan di bawah Akta Kanun Keseksaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Ab Rahim Che Ghani berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kedua-dua kejadian berkenaan.

"Jangan percaya kepada maklumat dalam laman sosial Facebook. Rujuk kepada polis untuk  mendapatkan pengesahan," katanya.

Tags / Kata Kunci: polis nafi mati lemas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan