MTUC Gesa Beri Cuti Bergaji Kepada Pekerja Di Negeri Dilanda Banjir

Diterbitkan: Jumaat, 26 Disember 2014 3:07 PM

Antara rumah yang hampir tenggelam akibat air sungai naik secara mendadah sejak awal pagi ini di Felda Lubuk Merbau sempadan daerah Sik, Kedah. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Majikan swasta di kawasan dilanda banjir digesa menimbang memberi cuti bergaji kepada pekerja masing-masing sehingga keadaan pulih.

Timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A.Balasubramaniam berkata langkah itu boleh menolong meringankan kesulitan yang dialami pekerja terbabit.

"Majikan sektor swasta sepatutnya bermurah hati memberi cuti bergaji kepada pekerja mereka ketika banjir melanda banyak negeri.

"Saya percaya kehidupan berpuluh ribu pekerja akan terjejas akibat banjir teruk yang melanda Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis," katanya.

Balasubramaniam berkata walaupun kebanyakan pekerja sektor swasta hanya bergantung pada ihsan majikan mereka untuk mendapat cuti bergaji, namun adalah menjadi tanggungjawab sosial majikan untuk menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang nasib yang menimpa pekerja masing-masing dan memberi bantuan yang diperlukan, termasuk cuti bergaji ketika berlaku bencana.

"Kami berharap majikan tidak mengambil langkah drastik terhadap pekerja yang tidak dapat datang bekerja kerana keadaan yang kritikal," katanya.

Sementara itu, keadaan banjir tidak menunjukkan tanda akan surut dengan segera, manakala mangsa yang dipindahkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak berjumlah 103,649 orang pagi ini, dengan Pahang mencatat peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dipindahkan dan Kelantan mencatat penurunan kecil.


Tags / Kata Kunci: MTUC , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan