Banjir Di Hulu Dungun Terburuk Selepas Tiga Dekad

Diterbitkan: Jumaat, 26 Disember 2014 5:03 PM

Penduduk Kampung Nerang menggunakan bot laju untuk berulang-alik ke jalan utama setelah sebahagian besar kampung mereka ditenggelami banjir.

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Hampir 80 peratus kampung sekitar Hulu Dungun dinaiki air sejak gelombang pertama banjir melanda 15 Disember lepas, berpunca daripada limpahan air Sungai Dungun yang tidak dapat mengalir ke laut akibat fenomena air laut pasang besar.

Banjir yang melanda 20 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi itu disifatkan penduduk sebagai terburuk sejak 1983.

Antara kampung teruk terjejas ialah Kampung Kuala Jengai, Kampung Rantau Panjang, Kampung Dendang, Kampung Jerangau Sungai, Kampung Minda, Kampung Shukor, Kampung Padang Ping serta Kampung Lintang menyebabkan 2,955 mangsa daripada 789 keluarga dipindahkan di 19 pusat pemindahan.

Mangsa banjir, Mohd Ismadi Khalid, 33, dari Kampung Minda berkata banjir yang melanda tahun ini menyebabkan hampir kesemua penduduk di kampung berkenaan terpaksa dipindahkan apabila hampir 90 peratus rumah mereka hanya nampak bumbung.

"Banjir kali ini sangat teruk, kawasan kampung saya semua rumah hanya tinggal bumbung, mujur saya buat persiapan awal membuat rakit untuk menyelamatkan barang berharga kerana kampung ini setiap tahun dilanda banjir,"katanya ketika ditemui Bernama.

Bagi pasangan guru Zulfadzli Supaat, 42, dan Siti Salmiah Sikh Salim, 41, yang tinggal di Kampung Wa, mereka berdepan detik cemas apabila air mulai masuk ke rumah mereka pada tengah malam Rabu lepas dan Zulfadzli terpaksa meminta pertolongan rakan untuk memindahkan isteri dan bayinya yang berusia 45 hari.

"Memang sangat cemas, apa yang saya fikir, nak pindahkan isteri dan anak saya yang baru lahir. Saya terpaksa menelefon kawan minta tolong pada 3 pagi (Rabu) ... Alhamdulillah, mereka berdua selamat.

"Sudah 14 tahun saya tinggal di sini, ini kali pertama banjir sangat teruk, biasanya air hanya paras betis tetapi kali ini sehingga paras pinggang,"katanya.

Seorang warga emas dari Kampung Jerangau Sungai, Mat Jais Jah, 84, berkata banjir yang melanda kali ini mengingatkannya kepada bencana alam itu yang pernah melanda kampung berkenaan 31 tahun lepas.

"Masa tahun 1983, banjir dah teruk ... tapi kali ini lagi teruk sebab ramai mangsa dipindahkan. Tetapi mujur sekarang ada pusat pemindahan yang selesa dan diberi makanan. Kalau dulu, kami terpaksa berpindah dan berteduh di atas bukit di kampung ini.

"Masa itu, kami pindah sendiri, lari lintang pukang dari air dan rumah penduduk kampung yang di tempat tinggi dijadikan tempat berlindung. Sekarang, Alhamdulillah, semua disediakan kerajaan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jerangau Sungai, Mohamad Jusoh berkata banjir yang melanda sekitar Hulu Dungun dan kampungnya menyebabkan lebih ramai mangsa banjir dipindahkan berbanding tahun sebelumnya.

"Biasanya, di kampung ini hanya 100 mangsa daripada 20 keluarga dipindahkan tetapi kali ini, jumlahnya meningkat mendadak sehingga 432 mangsa daripada 109 keluarga.

"Pusat pemindahan asal di kampung ini di Balai Raya Kampung Panchur terpaksa ditutup setelah dinaiki air dua hari lepas dan kita terpaksa membuka pusat pemindahan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau untuk kemudahan mangsa banjir," katanya.

Mohamad berkata walaupun jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat,makanan dan keperluan lain di pusat pemindahan adalah mencukupi.

Tinjauan Bernama sekitar Hulu Dungun mendapati penduduk menggunakan perahu serta bot laju sebagai pengangkutan untuk menjalankan aktiviti harian dan beberapa jalan utama sekitar DUN Bukit Besi, ditutup kepada semua kenderaan berikutan limpahan air sungai.

Tags / Kata Kunci: dungun , banjir

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan