Puteri Umno Cadang TNB Beri Rebat Kepada Mangsa Banjir

Diterbitkan: Khamis, 25 Disember 2014 4:25 PM

Penduduk Kampung Bukit Rangin dan Permatang Badak memenuhi setiap ruang Kompleks Sukan Sukpa apabila kampung mereka ditenggelami banjir malah ada rumah yang dinaiki air sehingga mencecah paras bumbung di sini, Khamis.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Pergerakan Puteri Umno mencadangkan supaya Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi rebat kepada mangsa di negeri yang terjejas banjir.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini bagi memastikan mangsa banjir tidak terbeban berikutan keadaan bencana itu yang semakin buruk.

"Kita harap TNB memberi rebat antara enam bulan hingga setahun kepada mereka yang terlibat banjir kerana mangsa banjir memerlukan wang untuk membaiki rumah dan sebagainya.

"Selain itu kita juga ingin meminta syarikat bekalan air di setiap negeri untuk turut memberi rebat kepada mangsa banjir," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta supaya Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memansuhkan pinjaman mangsa banjir di bawah RM2,000.

"Kami yakin mangsa yang terlibat berbesar hati sekiranya Mara dan Tekun dapat melupuskan hutang mereka, selain ia dapat meringankan beban mangsa banjir," katanya.

Mas Ermieyati berkata sambutan Tahun Baharu tidak perlu diadakan berikutan keadaan banjir buruk yang melanda penduduk di pantai Timur.

"Saya harap peruntukan untuk sambutan Tahun Baharu disalurkan kepada mangsa banjir yang lebih memerlukan. Kami tidak mahu ada yang bersuka ria pada ambang Tahun Baharu tanpa memikirkan nasib mereka yang dilanda banjir," katanya.

Selain itu, beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam melaporkan berita terkini berkaitan banjir kerana ketika ini terdapat banyak laporan palsu yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut menyerahkan baju dan but hujan kepada petugas media di negeri ini.

Tags / Kata Kunci: Puteri Umno , banjir , TNB , rebat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan