Pelancong Asing Hargai Usaha Menyelamat

Diterbitkan: Khamis, 25 Disember 2014 9:54 PM

Pelancong luar negara boleh menarik nafas lega apabila diselamatkan keluar dari Taman Negara Kuala Tahan dengan menggunakan helikopter selepas terkandas selama tiga hari akibat banjir luar biasa melanda Kuala Tahan pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

JERANTUT: Rata-rata pelancong asing yang diselamatkan daripada terperangkap di Taman Negara akibat banjir sejak Selasa lepas menghargai usaha pihak berkuasa yang berjaya membawa mereka daripada kawasan tersebut pada Khamis.

Warga Perancis, Serge de Sobarnitsky, 41, berkata walaupun mereka terpaksa menunggu 12 jam selepas operasi membawa mereka keluar semalam ditangguhkan akibat cuaca buruk, namun itu tidak memberi persepsi buruk kepada agensi keselamatan negara.

"Sebenarnya, kami faham jika pihak berkuasa memberi keutamaan menyelamatkan penduduk tempatan yang mengalami banyak kerugian dalam banjir ini berbanding kami, kerana kami tidak tinggal di sini, kami akan pulang ke negara kami selepas ini.

"Apapun, kami sebagai pelancong benar-benar menghargai apa yang dilakukan pihak berkuasa bagi membawa kami keluar," katanya kepada pemberita sebaik sahaja selamat mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana, dekat sini hari ini. 

de Sobarnitsky, 41, seorang pengurus sebuah syarikat di Kuala Lumpur datang bercuti ke Taman Negara bersama isteri, Mathilde, 37 dan dua anaknya, Alexander, 7 tahun dan anak perempuannya, Lise, tiga tahun.

Beliau dan keluarganya antara kumpulan pertama yang tiba dari Taman Negara dalam operasi yang dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat menggunakan helikopter.

Sementara itu, warga Belanda, Wilbert Sawat, 32, turut memuji agensi yang berusaha menyediakan segala kelengkapan termasuk makanan dan ubat-ubatan kepada pelancong.

"Terima kasih banyak-banyak atas layanan anda...saya mungkin datang lagi apabila banjir sudah reda," katanya.

Sebanyak 102  pelancong asing dan tempatan berjaya dibawa keluar daripusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Tahan hari ini selepas usaha membawa mereka keluar semalam terpaksa ditunda akibat cuaca buruk. 

Tags / Kata Kunci: pelancong asing , taman negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan