Faktor Cuaca, Arus Deras Punca Kelewatan Bantuan Di Kelantan - Panglima Medan

Diterbitkan: Khamis, 25 Disember 2014 8:30 PM

Permandangan dari udara Bandar Kota Baharu dipenuhi air akibat limpahan air Sungai Kelantan pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Anggota penyelamat dari Angkatan Tentera Darat (ATD) terpaksa berdepan cuaca buruk dan arus air yang deras untuk operasi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan. 

Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata ekoran bencana itu banyak kawasan yang terputus hubungan dan menyukarkan pasukan penyelamat terutamanya untuk memberikan bantuan yang diperlukan secepat mungkin.

“Contohnya di Manik Urai, memang kita tidak dapat masuk ke kawasan tersebut menerusi jalan darat dan faktor cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan bantuan menerusi udara juga tidak dapat dilakukan.

“Mungkin ada yang tidak memahami kesulitan yang kita lalui dan terus mengeluarkan dakwaan kita tidak melakukan operasi bagi menghantar bekalan makanan dan sebagainya,” katanya ketika melakukan tinjauan banjir di sekitar Kemaman pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya mencuba sedaya upaya untuk berada dan memberikan bantuan di kawasan yang diperlukan dengan secepat mungkin menerusi pelbagai usaha.

Katanya kelewatan bantuan tersebut bukan disengajakan dan pihaknya juga tidak menginginkan perkara seperti itu berlaku.

“Saya percaya persiapan rapi telah dilakukan pelbagai pihak bagi melicinkan usaha sepanjang bencana ini namun beberapa faktor menjadi kekangan buat kami bagi menghantar bantuan,” katanya.

Jelasnya pihaknya telah menggerakkan 1,400 anggota bersama kelengkapan menyelamat di semua negeri yang dilanda banjir.

Zulkiple berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengawasi dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

“Setakat ini di Kemaman, seramai 50 anggota telah digerakkan dan kita akan menambah bilangan ini jika aliran air di daerah ini terus meningkat,”katanya. 

Tags / Kata Kunci: banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan