Ibu Bapa Ambil Cuti Beli Keperluan Sekolah Anak-Anak

Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014 8:54 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kurang dua minggu lagi, cuti persekolahan bakal berakhir, berikutan itu golongan ibu bapa dilihat sibuk membuat persiapan terakhir membeli kelengkapan sesi persekolahan akan datang.

Tinjauan mStar Online mendapati ramai ibu bapa memilih Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai lokasi pilihan untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka. 

Ada juga ibu bapa yang sanggup mengambil cuti pada hari bekerja semata-mata untuk membeli barangan persekolahan anak-anak kerana tidak mahu bersesak-sesak pada cuti hujung minggu. 


Jalan TAR menjadi lokasi pilihan ibu bapa membeli barangan persekolahan anak-anak. Bukan itu sahaja, kebanyakan mereka yang ditemui turut menyambut baik cadangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 April 2015. 

Menurut Abdul Halim Hj Anen, 43, sebagai pengguna mereka perlu bijak membuat dalam membuat pilihan ketika membeli barangan keperluan sekolah anak-anak. 

"Memang setiap tahun saya akan berkunjung ke Jalan TAR untuk beli barangan keperluan sekolah anak-anak sebab harganya yang murah disamping kualiti barangan sekolah yang dijual juga tahan lama. 

"Saya suka beli jenama pakaian sekolah 'Canggih' kerana kualitinya memang terjamin," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di sebuah pusat beli belah di sini, baru-baru ini. 

Beliau berkata walaupun harga barangan keperluan sekolah anak-anak akan naik pada tahun hadapan namun dia tetap menyambut baik pelaksanaan GST.

"Sudah pasti akan ada perbezaan dari segi harga barangan, sebagai pengguna kita perlu menyokong dan saya menyambut baik seruan kerajaan. 

"Saya tidak ada masalah dengan GST ia penting untuk kemajuan negara. Walaupun bajet untuk beli barangan keperluan persekolahan bertambah, sebgai pengguna kita perlu bijak. 

"Kita sepatutnya beli barang ikut keperluan, jika pakaian yang lama masih elok kita hanya beli sepasang atau dua pasang dan gunakan yang pakaian yang masih elok," katanya. 

Ibu bapa lebih mementingkan kualiti pakaian sekolah berbanding jenama. 


Sementara itu, Rosnita Ishak, 41,  pula memperuntukkan sebanyak RM1,500 untuk perbelanjaan membeli barangan persekolahan tiga orang anaknya. 

"Saya suka beli di Jalan TAR kerana semua ada dijual di sini, senang boleh dapatkan barangan keperluan yang kita mahukan hendak di satu kedai sahaja. 

"Apa yang penting bagi saya semua kelengkapan sekolah anak-anak dapat disiapkan dan kali ini bajet pun bertambah sebab seorang lagi anak saya pun akan mula bersekolah pada tahun hadapan," katanya. 

Menurut Rosnita, walaupun harga barangan naik, namun dia akan cuba sedaya upaya berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan. 

"Saya lebih mementingkan kualiti ketika membeli pakaian anak-anak, kerana saya mahu pakaian tersebut dapat tahan lama. Kadang-kadang jenama mahal pun tak tahan lama," katanya yang sanggup ambil cuti pada hari bekerja semata-mata mahu membeli barangan sekolah anak-anaknya. 

Bagi Shamsuri Bahari, 33, dia memilih premis menjual pakaian sekolah di Jalan TAR kerana harganya yang murah dengan kualiti yang terjamin. 

Dia turut mengakui harga barangan keperluan sekolah masih sama pada harga sedia ada kerana GST hanya akan berkuat kuasa pada April tahun hadapan. 

"Saya memang suka beli barangan sekolah anak-anak di sini. Kerana harganya murah dan kualiti juga tidak jauh daripada jenama lain. 

"Apa yang saya tahu, GST belum dilaksanakan lagi, harga barangan bagi masih belum berubah," katanya yang memperuntukkan sebanyak RM200 untuk membeli barangan keperluan seorang anaknya yang bersekolah. 

Berdasarkan tinjauan mendapati, beberapa premis yang menjual barangan keperluan persekolahan dilihat memberikan diskaun serendah 5 hingga 20 peratus semata-mata untuk menarik perhatian pengguna membeli barangan di premis mereka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan