Mangsa Banjir di Beberapa Negeri Terus Meningkat

Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014 7:25 PM

Daerah Kemaman kini merupakan antara kawasan paling teruk dilanda banjir sehingga menyebabkan sebahagian daripada Bandar Baru Bukit Mentok ditenggelami air sehingga paras bumbung rumah yang dilihat ketika tinjauan foto Bernama di sini, hari ini. -- foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa buah negeri masih berada pada tahap serius dengan jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat kepada 65,419 petang ini berbanding 62,836 orang tengah hari Rabu.

Di KELANTAN, jumlah penduduk yang dipindahkan terus bertambah kepada 26,547 orang membabitkan 7,687 buah keluarga pada petang ini berbanding 26,137 orang daripada 7,468 keluarga, tengah hari tadi.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, kesemua mereka dipindahkan di 125 buah pusat pemindahan, meningkat lapan buah pusat pemindahan berbanding 117 pusat pada sebelumnya.

Jumlah mangsa banjir tersebut membabitkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, dan Tumpat.

Jajahan Pasir Mas paling terjejas apabila menyaksikan seramai 7,776 orang dipindahkan di 30 buah pusat pemindahan diikuti jajahan Gua Musang 6,947 orang yang kini ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan pada petang ini (tiada perubahan berbanding tengah hari.

Beberapa jajahan lain mencatatkan peningkatan mangsa yang dipindahkan petang ini antaranya Tumpat, yang meningkat sebanyak 498 orang kepada 4,292 orang mangsa berbanding 3,794 orang yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

Di Tanah Merah pula jumlah mangsa terus meningkat 104 orang kepada 905 orang berbanding 801 orang tengah hari tadi yang masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

Machang turut mencatatkan peningkatan kepada 178 orang berbanding 149 orang pada sebelah pagi yang ditempatkan di enam buah pusat pemindahan, selain Jeli yang bertambah kepada 707 orang berbanding 557 orang yang dipindahkan di tiga tempat pemindahan.

Sementara di Kuala Krai, jumlah mereka yang terpaksa berpindah menurun sebanyak 342 kepada 4,864 orang berbanding 5,206 orang pada tengah hari tadi.

Kota Baharu pula, jumlah mangsa kekal 276 orang yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan, manakala di Pasir Puteh jumlah mangsa kekal 602 orang yang ditempatkan di lima pusat pemindahan.
 
DI TERENGGANU, keadaan banjir petang ini tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa meningkat sedikit daripada 22,326 pada sebelah pagi kepada 22,372 orang petang ini.

Mengikut stastik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, mangsa di Hulu Terengganu meningkat lebih 90 orang dan di Kuala Terengganu tujuh orang.

Dua pusat pemindahan juga bertambah daripada 116 pada tengah hari tadi kepada 118 petang ini. Keluarga terlibat adalah 5,248 setakat ini.

Kemaman mencatatkan 13,017 orang, Dungun 4,971, Kuala Terengganu 3,089, Hulu Terengganu 753, Besut 383, Marang 115 dan Setiu 44.

Di PAHANG, jumlah mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing bertambah 1,830 kepada 14,662 orang daripada 3,810 keluarga petang ini berbanding 12,832 orang daripada 2,768 keluarga tengah hari tadi.
 
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, mangsa banjir di daerah Kuantan masih mencatatkan jumlah tertinggi 7,823 orang daripada 2,257 keluarga di 34 pusat pemindahan berbanding tujuh lagi daerah yang terlibat.
 
"Di Maran (2,541 orang daripada 623 keluarga di 18 pusat), Lipis (1,805 orang daripada 379 keluarga di 24 pusat), Jerantut (1,290 orang daripada 273 keluarga di 24 pusat), Pekan (615 orang daripada 150 keluarga di lapan pusat), Temerloh (333 orang daripada 66 keluarga di tujuh pusat), Rompin (247 orang daripada 61 keluarga di tiga pusat) dan Bera (lapan orang daripada satu keluarga di satu pusat)," katanya. 

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar meningkat kepada 1,650 orang daripada 414 keluarga setakat ini, berbanding 1,030 tengah hari tadi, menurut jurucakap di Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak.

Kesemua mereka ditempatkan di 20 buah pusat pemindahan iaitu 12 pusat di Kuala Kangsar yang menempatkan 1,291 orang dan 359 orang di lapan pusat pemindahan di Hulu Perak

Di PERLIS, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 188 orang sehingga pukul empat petang ini berbanding 175 orang pada pukul 1 tengahari tadi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis melaporkan mereka yang terdiri daripada 52 buah keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan iaitu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, Dewan Malau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)

Abi, Dewan Beseri Dalam dan Dewan Sri Pilihan.

Sementara itu, di SABAH semua pusat pemindahan yang menempatkan 336 orang sebelum ini ditutup sepenuhnya pada pukul 3.30 petang tadi selepas semua mangsa yang membabitkan 128 keluarga dibenarkan pulang sejak 2 petang.

Dalam pada itu, di Sik, KEDAH, sekurang-kurangnya 30 buah rumah berhampiran beberapa batang sungai di kawasan Belantik dekat sini dinaiki air lebih satu meter selepas air di kedua-dua sungai melimpah sejak 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, tiada penduduk yang berpindah dan hanya akan berbuat demikian jika paras air terus meningkat, yang didakwa mereka berlaku akibat sungai berkenaan tercemar berikutan kegiatan mengorek pasir di beberapa kawasan tertentu sepanjang dua sungai berkenaan.

Kampung yang paling teruk dilanda banjir adalah Kampung Pinang yang berdekatan Sungai Sok serta Sungai Chempa. Kampung-kampung lain yang terlibat adalah yang terletak berdekatan Sungai Landai dan di sepanjang Sungai Nami.

Tags / Kata Kunci: mangsa banjir meningkat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan