Keputusan PT3 Tidak Jejas Kemasukan Murid ke Aliran Sains Atau Sastera

Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014 7:53 PM

Dr Khair Mohamad Yusof.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada Isnin lepas tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Asrama Penuh dan aliran sains atau sastera, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata murid-murid Tingkatan 3 yang menduduki PT3 mulai tahun ini ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PT3. 

"Pemilihan ke aliran tersebut (Sekolah Asrama Penuh dan aliran sains atau sastera) dibuat bukan sahaja berdasarkan keputusan PT3 tetapi juga mengambil kira pelaporan keempat-empat komponen PBS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Dr Khair juga menjelaskan bahawa PT3 bukan menjadikan murid sebagai bahan uji kaji dan ia tidak disediakan dalam masa yang singkat sebaliknya soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah diguna pakai untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

Beliau berkata format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah (PS) yang dilaksanakan mulai Tingkatan Satu menggalakkan guru mentaksir murid dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian bertulis, kajian lapangan, kuiz, kajian di makmal sains dan senarai semak.

"Ini bermakna murid telah didedahkan dengan pelbagai format instrumen ujian sejak tahun 2012," katanya. 

Dr Khair juga menjelaskan bahawa pelaksanaan PT3 untuk menggantikan PMR dibuat setelah mendapat pandangan rakyat daripada pelbagai peringkat yang pada ketika itu rata-rata mahukan sistem pendidikan negara tidak terlalu bertumpu dan mementingkan peperiksaan semata-mata yang mengekang percambahan berfikir. 

"Justeru itu, setelah meneliti dan membuat kajian terperinci, PT3 diperkenalkan pada tahun ini, ditambah baik dengan memberikan lebih penekanan kepada soalan-soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi kerana negara kita mesti melahirkan pelajar berkualiti yang mempunyai kemahiran berfikir yang lebih kritis, kreatif dan mendorong mereka untuk berfikir di luar kotak," katanya. 

Dr Khair berkata PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di Tingkatan 3 bagi menilai pencapaian akademik calon dari segi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah. 

Melalui PT3, beliau berkata calon ditaksir untuk melihat penguasaan dan keupayaan intelek mereka di akhir sesuatu program pembelajaran. 

"Pelaksanaan PT3 mengambil kira instrumen dan panduan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) manakala pentadbiran dan penskoran oleh guru di sekolah masing-masing dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh LP," katanya. 

Dr Khair berkata keputusan PT3 pada tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan PMR yang dijalankan sebelum ini kerana format dan instrumen yang digunakan adalah berbeza. 

Beliau berkata struktur soalan PT3 berbentuk subjektif (respons terbuka)
berbeza dengan soalan PMR yang berbentuk objektif (aneka pilihan) selain struktur soalan baharu ini memerlukan pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran apabila menjawab soalan peperiksaan berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal sukatan pelajaran untuk memperoleh keputusan cemerlang.

"Nisbah aras kesukaran soalan juga adalah berbeza, iaitu PT3 : 3:4:3 (rendah :sederhana:sukar), manakala PMR : 5:3:2 (rendah : sederhana:sukar). 

"Kaedah penggredan juga berbeza iaitu penggredan PT3 ditetapkan berdasarkan penetapan standard (kriteria tertentu mengikut mata pelajaran) dan penggredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard (gred ditetapkan mengikut prestasi keseluruhan calon)," katanya. 

Dr Khair berkata soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan sebagai penyebab kemerosotan pencapaian murid adalah tidak benar, kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis.

Beliau berkata LP amat mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor dan bagi memastikan ketekalan pemeriksaan oleh guru, LP telah menyediakan panduan penskoran yang setara, melatih guru-guru untuk memeriksa skrip jawapan calon, serta melantik pentaksir luar yang berkecuali untuk menjalankan moderasi pemeriksaan dan verifikasi skor calon.

Dr Khair juga menjelaskan bahawa empat komponen PBS telah disampaikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan pihak sekolah sejak tahun 2012 lagi, termasuk siri program Outreach PBS dan Penglibatan Awam PIBG untuk memberi penerangan. 

Di samping itu, beliau berkata kementerian juga melaksanakan hebahan dan memberi kefahaman tentang PT3 kepada pelbagai pihak melalui pelan komunikasi iaitu penerangan tentang PBS kepada masyarakat umum melalui media elektronik seperti radio, televisyen dan portal LP.

Untuk memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang terbaik, Dr Khair berkata Kementerian Pendidikan akan terus meneliti dan mengambil langkah-langkah wajar utuk memperbaiki sebarang kelemahan dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak. 
 
"Kementerian Pendidikan sentiasa menerima pandangan dan maklum balas daripada semua pihak untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara amnya dan pentaksiran secara khususnya," katanya. 

Dr Khair mewakili Kementerian Pendidikan turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan masyarakat umum yang telah memberikan pelbagai respons mengenai keputusan PT3 yang diumumkan. 

Tags / Kata Kunci: PT3 , aliran Sains , Sastera

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan