Tidak Perlu Pakaian Seragam Sekolah Idea Yang Tidak Bernas - Pemuda MIC

Diterbitkan: Selasa, 23 Disember 2014 7:27 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengumuman Kementerian Pendidikan agar pelajar Tingkatan Enam tidak perlu memakai pakaian seragam sekolah disifatkan sebagai idea yang kurang bernas oleh Pemuda MIC, kerana ia mungkin akan menimbulkan lebih banyak masalah disiplin. 

Dalam satu kenyataan, Pemuda MIC berkata guru telah terbeban dengan banyak tugasan kini mempunyai satu lagi peranan untuk menyemak sama ada pelajar memakai pakaian yang bersesuaian. 

"Tujuan memakai pakaian seragam ke sekolah supaya pelajar tidak perlu membuat pilihan sendiri serta mengurangkan konflik antara pelajar dan guru," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa. 

Kenyataan itu menyebut, keputusan agar pelajar tidak perlu memakai pakaian seragam akan hanya menimbulkan hujah yang berpanjangan mengenai definisi pakaian kasual. 

"Apakah penilaian mereka terhadap pakaian yang terlalu ketat atau longgar? Apakah klasifikasi terhadap pakaian yang tidak sopan? 

"Apa pun, pakaian kasual di sekolah tidak akan memberikan impak yang relevan terhadap kualiti pendidikan secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan. 

Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa langkah berkenaan akan hanya mengurangkan tindakan untuk memupuk perpaduan di bawah satu bumbung. 

Pada Selasa, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelajar tingkatan Enam yang baharu akan dibenarkan memakai pakaian tradisional atau pakaian yang lain ke sekolah bermula pada sesi persekolahan yang baharu. 

Pelajar juga dibenarkan memakai pakaian baju batik ke sekolah sebagai salah satu langkah pembaharuan yang dijalankan oleh pihak kementerian dalam langkah penjenamaan semula Tingkatan Enam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan