Keputusan UPKK 2014 Terbaik Untuk Tempoh Tiga Tahun

Diterbitkan: Isnin, 22 Disember 2014 2:25 PM

Othman Mustapha.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2014 mencatatkan pencapaian terbaik bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dengan seluruh negeri mencapai keputusan cemerlang dengan kelulusan 100 peratus tanpa D.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata pada tahun lepas keputusan UPKK mencapai kelulusan 99.99 peratus. 

Sebanyak 27,614 orang calon (15.29 peratus) memperoleh agregat 8A pada tahun ini berbanding 22,608 orang calon (12.22 peratus) tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 3.1 peratus, katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan UPKK 2014 di sini, Isnin.

Melaka merupakan negeri tertinggi memperoleh peratus agregat 8A iaitu 26.7 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan (23.76 peratus) dan Sabah (21.71 peratus), katanya. 

"Mata pelajaran Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 100 peratus, diikuti bidang Al-Quran mencapai 99.36 peratus lulus.

"Ini menjadi penanda aras kepada kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah Al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian," kata Othman.
 
Mata pelajaran Ulum Syariah mencatat kelulusan 85.55 peratus; (Jawi, 92.53 peratus), (Sirah, 82.70 peratus); (Adab, 88.98 peratus) dan (Lughatul Quran, 82.39 peratus). 

Katanya pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini adalah 1.76 peratus berbanding tahun lepas iaitu 1.86 peratus, meningkat sebanyak 0.1 mata. 

Negeri terbaik dalam peperiksaan UPKK 2014 berdasarkan GPN adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan GPN 1.56, diikuti Selangor GPN 1.57 dan Melaka GPN 1.59, katanya.


Tags / Kata Kunci: UPKK 2014 , Jakim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan