Draf Akhir Pindaan Dasar Dadah Negara Dijangka Siap Mei 2015

Diterbitkan: Isnin, 22 Disember 2014 5:31 PM

Izhar Abu Talib

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Draf akhir pindaan Dasar Dadah Negara dijangka siap selewat-lewatnya Mei tahun depan, sebelum diserah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk penilaian.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) IzharAbu Talib berkata pihaknya kini giat mendapatkan maklum balas orang ramai dengan membentangkan rangka draf itu di seluruh negara sejak November.

"Rangka awal dasar itu kami bentangkan dalam pelbagai medium antaranya seminar, dialog dan program pertemuan bersama masyarakat setempat di peringkat negeri.

"Kami harap penglibatan menyeluruh daripada pelbagai jabatan termasuk pakar perubatan, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan dapat menjana input baharu bagi menambah baik usaha pembentukan dasar itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi pembentangan Draf Pindaan Dasar Dadah Negara, pada Isnin.

Sesi pembentangan itu melibatkan 200 peserta daripada 27 agensi kerajaandan swasta di negeri ini.

Izhar berkata draf itu sudah 40 peratus selesai dan tumpuan diberi terhadap strategi penguatkuasaan, pendidikan, pencegahan dan pemulihan bagi membendung ancaman dadah yang semakin meruncing.

Terdahulu pada sesi dialog, Anggota Majlis Jawatankuasa Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia, Hisham Abdul Hamid berpendapat gerakan bersepadu perlu dibentuk bagi mengelak pertindihan tugas antara pelbagai agensi berkaitan.

"Perlu ada penyelarasan atau jabatan khusus yang hanya urus soal dadah. Ia boleh jadi gabungan antara AADK, polis narkotik, gabungan tenaga pakar termasuk dari bahagian komunikasi dan multimedia kerana jenayah itu bersifat global,"katanya.

Seorang lagi peserta, Dr Lee Chai Guan berpendapat sasaran kadar penyalahgunaan dadah kurang dari 0.1 peratus bagi penduduk berusia antara 15 dan 64 tahun seperti mana dalam draf awal itu, adalah tidak realistik.

"Populasi itu terlalu umum...melibatkan sampel yang besar. Ia sepatutnya lebih fokus kepada golongan remaja kerana pada usia muda mereka lebih mudah dibentuk dan produktif," katanya. -BERNAMA

Tags / Kata Kunci: AADK , Draf , Izhar Abu Talib

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan