Keadaan Banjir Di Kelantan, Terengganu Berubah Sedikit

Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2014 2:33 PM

Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Bendang Pak Yong,Tumpat pada Ahad. - foto SAZUKI EMBONG/The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di pantai timur Semenanjung berubah sedikit tengah hari Ahad dengan beberapa pusat pemindahan banjir di Kelantan ditutup.

Menurut portal banjir kerajaan negeri Kelantan, empat pusat pemindahan mangsa banjir di Jeli ditutup selepas 216 orang yang berada di pusat berkenaan di sebelah pagi dibenarkan pulang.

Kelantan merekodkan 20,524 mangsa setakat tengah hari ini daripada 6,669 keluarga yang ditempatkan di 73 pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri dengan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah terbesar mangsa iaitu 11,853 orang yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan berbanding 12,008 orang pagi Ahad.

Jumlah mangsa banjir di Tumpat bertambah sedikit tengah hari ini kepada 5,270 orang yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini mencatat bacaan 10.29 meter naik sedikit berbanding 10.29m pagi Ahad melepasi paras bahaya 9 meter.

Keadaan itu dijangka menyebabkan berlaku pertambahan mangsa banjir berikutan keadaan cuaca yang mendung disusuli sesekali hujan lebat terutama di kawasan pedalaman negeri ini.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Kuala Krai kekal 1,928 orang yang ditempatkan di lapan buah pusat, Machang (75/tiga pusat, Pasir Puteh (619/empat pusat), Tanah Merah (443 orang/14 pusat) dan Kota Baharu (336 orang/empat pusat).

Jumlah yang terkorban akibat banjir gelombang kedua di negeri ini sejak 16 Disember lalu masih kekal empat orang.

Sementara itu, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah mangsa banjir di Terengganu pula menurun kepada 5,977 tengah hari ini berbanding 6,746 orang di sebelah pagi yang ditempatkan di 82 pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri.

Dungun masih mempunyai bilangan mangsa banjir paling ramai iaitu 2,248 orang, diikuti Besut (1,347/27 pusat) Kemaman (1,254/10 pusat) Hulu Terengganu (425/enam pusat), Kuala Terengganu (336/empat pusat), Setiu (132/lapan pusat) dan Marang (40/satu pusat pemindahan).

Tags / Kata Kunci: banjir , Kelantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan