380 Keluarga Mangsa Banjir Seberang Takir Terima Wang Ihsan

Diterbitkan: Sabtu, 20 Disember 2014 12:51 PM

Anggota tentera membantu memindahkan penduduk di sekitar Seberang Takir yang terperangkap akibat banjir.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 380 ketua keluarga mangsa banjir di Seberang Takir di sini menerima bantuan ihsan RM500 sumbangan kerajaan negeri dan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas daerah Kuala Nerus terjejas banjir gelombang pertama pada November lepas.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM380,000.

Ahmad Razif turut menegur segelintir pihak yang mempolitikkan isu banjir, sebaliknya meminta bersama-sama ikhlas menghulurkan bantuan tanpa mengenal fahaman politik.

"Saya kecewa masih ada segelintir pihak yang masih mempolitikkan isu bantuan banjir, ia sepatutnya tidak terjadi dalam keadaan begini.

"Kita harap bantuan yang diberikan itu sebagai tanda simpati kerajaan kepada mereka yang terlibat dan diharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Banjir, Dana Raya dan Dana Bakti Remaja, di sini Sabtu.

Turut hadir Pemangku Pengarah JKM Shaballah Zainal Abidin, Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara negeri Roslina Ngah dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu Mohamad Kamil Othman.

Dalam majlis tersebut, 391 penerima bantuan Dana Raya masing-masing menerima RM400 yang membabitkan peruntukan RM146,900 manakala 645 penerima Dana Bakti Remaja mendapat RM250 setiap seorang membabitkan peruntukan RM129,000.

Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyalurkan peruntukan ihsan yang bertujuan meringankan beban kewangan setiap keluarga yang mengalami kerugian harta benda akibat bencana banjir.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata rakyat Terengganu yang terlibat banjir juga diberi keutamaan untuk mendapatkan bantuan lain seperti pakaian persekolahan menjelang sesi persekolahan 2015 Januari depan.

"Kerajaan negeri prihatin dengan kesusahan rakyat dan memberi jaminan, jika kita mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak, sama ada syarikat korporat atau swasta, ia akan segera diagihkan terus kepada mangsa banjir," katanya.

Tags / Kata Kunci: banjir , Seberang Takir , wang ihsan

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan