Kerugian Akibat Air Terbuang RM2 Bilion Setahun - KP JBA

Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 6:56 PM

Kejadian paip bocor antara yang mengakibatkan kerugian mencecah RM2 bilion,

(Ubah saiz teks)

KUALA NERUS: Negara dianggarkan mengalami kerugian  antara RM1 bilion hingga RM2 bilion akibat kehilangan kira-kira 36 peratus air atau air tak berhasil (NRW) setahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA), Ir Noor Azahari Zainal Abidin.

Beliau berkata, NRW disebabkan dua faktor utama iaitu kehilangan air secara fizikal sama ada dicuri atau bacaan meter air pengguna tidak tepat yang menyebabkan mendapat pulangan hasil menjadi rendah.

Beliau berkata, satu lagi punca kehilangan air adalah disebabkan paip bocor, pecah, limpahan air di kolam rawatan dan sebagainya.

"Kadang-kadang terdapat berlaku kebocoran yang kecil, tetapi ia mengambil masa yang lama, jadi ia mengakibatkan kehilangan air yang agak tinggi," katanya kepada pemberita pada majlis penutup mesyuarat tahunan Jurutera Air Daerah SeMalaysia di sini, Khamis.

NRW adalah jumlah kuantiti air yang dibekalkan kepada pengguna tetapi tidak memberi pulangan hasil kepada syarikat air yang membekalkannya.

Noor Azahari berkata, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan NRW sehingga 25 peratus sehingga penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Berhubung kes kecurian air, beliau berkata ia tidak melibatkan jumlah yang  tinggi iaitu dianggar melibatkan dua peratus sahaja setahun di seluruh negara, namun, menurutnya ada negeri yang mengalami masalah kecurian air agak tinggi seperti Sabah.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan liputan bekalan air agak rendah di Kelantan berbanding negeri lain berikutan ada antara mereka lebih suka menggunakan air perigi.

"Kadang-kadang bukan disebabkan paip air tidak ada di depan rumah mereka,  tetapi mereka lebih suka guna air perigi," katanya.

Katanya, Kelantan ada memohon peruntukan melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih RM1 bilion bagi meningkatkan sistem bekalan air yang baik dan menyeluruh untuk negeri itu.

"Kita akan buat kajian terlebih dahulu, kalau yakin betul dan ia boleh  dilaksanakan kita akan buatlah apa yang sepatutnya," katanya.

Tags / Kata Kunci: JBA , air , NRW , bocor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan