Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Meningkat Kepada 123 Orang

Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 8:13 PM

Penduduk Kampung Chendering Helmi Hassan, 33, berenang menyelamatkan kambing ternakannya yang terjatuh ke dalam air banjir ketika tinjauan fotoBernama di Kuantan pada Rabu.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang petang tadi meningkat kepada 123 orang daripada 32 keluarga berbanding hanya 32 mangsa daripada lapan keluarga pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ASP Abdul Aziz Salleh berkata sebanyak tiga pusat pemindahan dibuka setakat pukul 6 petang iaitu yang terbaharu di Balai Raya Seri Damai yang melibatkan 21 orang mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Seri Damai.

"Pada pukul 2.40 petang tadi, kita juga telah memindahkan 70 mangsa daripada 17 keluarga dari Lorong Hj Hussin Pandan 2 ke SK Pandan setelah rumah mereka dinaiki air.

"Manakala 32 mangsa daripada lapan keluarga dari PPRT Kempadang yang ditempat di SK Kempadang sejak pagi tadi, masih berada di pusat pemindahan berikutan air masih belum surut," katanya.

Beliau berkata berikutan hujan lebat yang turun tidak berhenti sejak pagi tadi, dua jalan di Kuantan dinaiki air iaitu di Kilometer 34 Jalan Kuantan-Maran (jalan lama) yang dinaiki air sedalam 0.6 meter sepanjang 30 meter.

Manakala, jalan di Kampung Batu 6 Jalan Kuantan-Sungai Lembing dinaiki air sedalam 0.5 meter sejauh 100 meter dan kedua-dua jalan ini ditutup untuk semua jenis kenderaan termasuk kenderaan berat.

Tags / Kata Kunci: banjir , Pahang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan