Jangan Terganggu Oleh Kritikan Pemilihan CEO MAS - Tee Keat

Diterbitkan: Isnin, 15 Disember 2014 3:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat meminta Khazanah Nasional Bhd supaya tidak terganggu atas kritikan yang dilemparkan terhadap pemilihan rakyat asing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS).

Pada masa yang sama, beliau memuji pelantikan itu yang dibuat berdasarkan merit.

Beliau meminta pengkritik berhenti mempertikaikan isu itu bagi membolehkan Khazanah dan MAS memberi perhatian penuh ke atas tempoh kritikal ini dalam menjalankan misi bagi memastikan kelangsungan hidup syarikat penerbangan itu.

"Sekarang adalah masa yang sangat penting buat MAS bagi meneruskan kelangsungan hidupnya, sekurang-kurangnya pulang modal. Inilah masa untuk MAS kekal beroperasi. Sudah pasti kita perlukan seseorang, tidak mengira kerakyatannya, namun lebih penting kepakaran, kemahiran dan keupayaannya," kata Tee Keat sebagai respons kepada pelantikan Christoph Mueller, anak kelahiran Jerman itu, oleh Khazanah.

Mueller yang kini berkhidmat sebagai CEO Aer Lingus, memulihkan syarikat penerbangan negara Ireland yang mencatat kerugian, dalam masa setahun selepas dilantik pada 2009. Beliau sebelum itu turut berjaya memulihkan Sabena, syarikat penerbangan Belgium dan Lufthansa, Jerman.

Khazanah, pemegang saham utama MAS, ketika mengumumkan pelantikan itu berkata dua tugas Mueller ialah memulihkan syarikat penerbangan negara itu selain melatih pengganti tempatan. Beliau dijangka memulakan tugas sebagai CEO MAS pada Mac tahun depan.

Tee Keat mengingatkan rakyat Malaysia bahawa semasa kerajaan memutuskan untuk membina Menara Kembar Petronas, ia memilih Cesar Pelli, antara arkitek terkemuka Amerika bagi melaksanakan tugas itu, bersama dua konsortium pembinaan, masing-masing dari Jepun dan Korea Selatan, walaupun terdapat kepakaran tempatan. Menara Kembar akhirnya menjadi antara bangunan ikon di dunia.

"Kita tidak harus lupa bahawa kita mencari antara pakar terbijak dari luar negara untuk membangunkan negara, membina struktur bangunan seperti menara berkembar, termasuk Jambatan Pulau Pinang dan projek lain.

"Dan saya fikir tidak ada sebab mengapa rakyat perlu menyalahkan Khazanah atau MAS. Matlamatnya kita yakin, Muller, berdasarkan pengalamannya memulihkan beberapa syarikat penerbangan pada masa lepas, dapat berkongsi pengalamannya dengan MAS, dan akhirnya dapat merealisasikan apa yang diharapkan daripadanya, dan sudah pasti kita perlukan seseorang, tanpa mengira kerakyatannya," kata Tee Keat.

Beliau berkata, dalam dunia korporat, amalan standard yang digunakan apabila konglomerat berstatus antarabangsa melaksanakan rombakan ialah mencari bakat terbaik untuk menjayakannya, tanpa terganggu oleh perkara seperti kritikan terhadap pelantikan Mueller.

Tee Keat berkata, dengan Mueller dilantik sebagai CEO baharu MAS, disokong oleh pasukan tempatan yang membantunya, beliau lebih yakin memulihkan MAS seperti yang ditetapkan dalam Pelan 12 perkara Khazanah, dan berjalan lancar berdasarkan amalan terbaik dan pelan perniagaan.

Beliau berkata masa semakin suntuk, dan masa untuk mereka, terutama yang mempunyai kepentingan politik tertentu mengkritik isu kelangsungan hidup syarikat penerbangan negara ini, kini sudah berakhir.

"Sekarang ini juga merupakan masa yang sangat penting untuk melantik seseorang yang mempunyai kepakaran untuk memulihkan MAS dan kita tidak mempunyai masa untuk mempersoalkan perkara berkaitan bukan operasi. Bila saya menyebut bukan operasi, maksud saya ialah seperti sama ada CEO yang kita lantik mampu memahami budaya tempatan atau gaya kerja dan bercakap bahasa tempatan.

"Inilah yang saya tidak faham. Mengapa perlu mempertikaikannya sehingga ke tahap beliau bukan rakyat Malaysia. Kita langsung tidak memikirkan sama ada beliau mampu melaksanakan kerja atau tidak," katanya.

Tee Keat memuji sikap terbuka Khazanah dalam melaksanakan pelan penstrukturan itu dengan mendapatkan cadangan dan idea daripada pihak lain, dan menambah MAS kini memasuki situasi 'hidup atau mati'.


Tags / Kata Kunci: Ong Tee Keat , Mueller , MAS

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan