Isu Kalimah Allah: Guan Eng Tidak Faham Bidang Kuasa

Diterbitkan: Ahad, 14 Disember 2014 3:01 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah Allah, jelas menunjukkan beliau tidak faham tentang bidang tugas, tanggungjawab dan undang-undang pentadbiran agama Islam di negara ini, menurut Umno Pulau Pinang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata sepatutnya Lim merujuk kepada Mufti negeri Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Exco agama negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai pentadbiran agama Islam di negeri ini.

"Tindakan beliau (Lim) mengatakan bahawa Seksyen 48(3) dan Seksyen 48(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 yang telah diwartakan pada April 2010 tidak boleh dikuatkuasakan atau terpakai ke atas orang bukan Islam adalah satu tindakan provokatif terhadap sensitiviti umat Islam yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama di negeri ini.

"Ia juga menunjukkan kekeliruan dan kejahilan ketua menteri sendiri berhubung penguatkuasaan fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Lim, seperti dilaporkan beberapa portal berita pada Jumaat, memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah.

Ketua Menteri dilaporkan berkata larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.

Zainal Abidin berkata kenyataan Lim itu juga bercanggah dengan kenyataan bekas pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh pada Januari lepas yang telah meminta ketua menteri dan kerajaan negeri mendapatkan semakan kehakiman kerana fatwa larangan itu terpakai terhadap orang bukan beragama Islam di Pulau Pinang.

"Keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang adalah selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes larangan penggunaan kalimah Allah oleh majalah The Herald," katanya.

Katanya Seksyen 3 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 juga dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di dalam Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam perlembagaan negeri Pulau Pinang.

"Kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong hanya boleh diturunkan kepada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas. Oleh yang demikian Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa dalam pentadbiran agama Islam di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mendesak Yang Dipertua MAIPP Datuk Salleh Man dan Exco Agama negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap kenyataan Lim supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Tags / Kata Kunci: Lim Guan Eng , Islam , Kalimah Allah

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan