Jawatankuasa Audit Bebas Siasat Keselamatan klia2 - Liow

Diterbitkan: Sabtu, 13 Disember 2014 5:42 PM

Liow ketika mengadakan lawatan ke apron pesawat di klia2 baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penubuhan Jawatankuasa Audit Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bertujuan menyiasat aspek keselamatan di lapangan terbang itu.

Sehubungan itu, beliau menafikan wujudnya pembaziran sumber berikutan penubuhan jawatankuasa audit bebas itu seperti yang didakwa oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata, jawatankuasa bebas itu bertanggungjawab dari segi keselamatan penumpang dan pendaratan pesawat mengikut standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) kerana adanya insiden takungan air pada apron klia2 baru-baru ini.

"Dari segi teknikal dan keselamatan, (ia) akan diuruskan oleh jawatankuasa audit bebas klia2 untuk memastikannya mematuhi syarat-syarat dan piawaian yang sudah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran solo 'Old Rich' oleh pelukis China, Prof Cheng Haw-Chien di sini, Sabtu.

Khamis lepas, Liow mengumumkan jawatankuasa audit bebas itu diketuai Presiden Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik Ir Prof Datuk Dr Cheah Hean Teik dan dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharrudin Abd Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir Annies Md Ariff, Ketua Pegawai Eksekutif G and P Professionals Sdn Bhd Datuk Dr Ir Gue See Sew dan Pengurus Besar Petronas, M Shobri Abu Bakar.

Semalam, media melaporkan Presiden PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan penubuhan jawatankuasa audit bebas itu sebagai 'berat sebelah' dan 'pembaziran sumber' dan meminta Ketua Audit Negara terlibat dalam penyiasatan itu.

"PAC hanya bertanggungjawab dari segi pembangunan keseluruhan lapangan terbang itu seperti berapa luas bangunan yang perlu dibuat dan kos yang terlibat...itu terpulang kepada pihak MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) untuk menjawabnya," kata Liow.

Menurutnya Kementerian Pengangkutan sedia bekerjasama untuk memberi maklumat terperinci berkaitan dengan pembinaan dan projek pembangunan klia2 seperti yang diharapkan PAC.

"Kita juga menggesa MAHB untuk tampil memberi penjelasan berkenaan dengan projek pembinaan klia2 secara keseluruhan kepada PAC sekiranya diperlukan lagi untuk berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai gesaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed supaya Malaysia mengetuai pasukan siasatan tragedi Penerbangan Malaysia (MAS) Penerbangan MH17, Liow berkata: "Tragedi itu berlaku di kawasan Ukraine dan sepatutnya Ukraine yang perlu bertanggungjawab untuk mengetuai pasukan itu, namun mereka telah menyerahkannya kepada Belanda untuk mengetuai pasukan siasatan itu.

"Namun demikian, Malaysia merupakan anggota penuh Pasukan Siasatan Bersama MH17 yang tertumpu kepada siasatan jenayah susulan nahas MH17 dengan anggota asalnya terdiri daripada Australia, Belgium, Ukraine dan Belanda," katanya.

Pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak jatuh di wilayah timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur.

Tragedi itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 44 rakyat Malaysia.


Tags / Kata Kunci: audit bebas , klia2 , PAC , Liow Tiong Lai

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan