Perak Arah PBT Tutup Kilang Ekstrak Minyak Tayar Terpakai

Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 3:18 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi perhatian serius terhadap aduan aktiviti mengekstrak minyak daripada tayar terpakai menggunakan kaedah 'pyrolisis' di negeri ini sehingga menyebabkan pencemaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, oleh yang demikian, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan mengenainya kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 28 Oktober lepas.

"PBT yang terlibat perlu mengambil tindakan ke arah penutupan sementara kilang-kilang berkenaan memandangkan ia beroperasi tanpa lesen operasi PBT," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengadakan mesyuarat dengan persatuan pengusaha 'pyrolisis' dan mereka diberi tempoh tiga bulan sehingga 21 Februari 2015 untuk menaik taraf cara pemprosessan tayar terpakai.

Pengusaha bersetuju untuk menutup kilang masing-masing jika mereka tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, katanya.

"Usaha pemantauan dan penguatkuasaan tetap dijalankan untuk memastikan mereka menepati janji," katanya.

Dr Mah berkata kerajaan negeri amat menitikberatkan industri kitar semula seperti tayar terpakai yang akan menghasilkan produk hiliran, namun pihak pengusaha perlu memastikan setiap proses yang dijalankan mematuhi standard yang ditetapkan oleh agensi berkaitan supaya tidak berlaku pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata 'pyrolisis' merupakan proses yang melibatkan 'thermal degradation' tanpa kehadiran gas Oksigen dengan beroperasi pada suhu 600 hingga 800 darjah selsius.

Tiada pembakaran terbuka ke atas tayar secara langsung dan minyak diperolehi dengan cara penyejukan (kondensasi) wap daripada proses 'pyrolisis' tersebut, katanya.

Ketika menjawab soalan Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi) berhubung penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran tayar secara terbuka yang mengeluarkan bau busuk dan bertoksin di Jalan Bendahara, Dr Mah berkata tindakan  penguatkuasaan akan dilaksanakan secara lebih agresif.

"Tugas penguatkuasaan akan melibatkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) itu dilaksanakan tanpa mengira waktu berikutan aktiviti itu dikesan berlaku pada waktu senja serta tengah malam," katanya.

Tags / Kata Kunci: PBT , Ipoh , ekstrak tayar , minyak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan