Operasi Berterusan Berkas Pati Di Lojing

Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 12:37 PM

Pemeriksaan berterusan dijalankan pihak berkuasa di sekitar kawasan Cameron Highlands dan Lojing. Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Kelibat pendatang asing tanpa izin (Pati) khususnya warga Bangladesh, Indonesia dan Nepal yang bekerja di ladang sayur di tanah tinggi Lojing di sini semakin berkurangan berikutan operasi menggempur pekerja asing di kawasan itu.

Tindakan tegas pihak berkuasa menampakkan hasil apabila tinjauan mendapati kebanyakan 200 ladang sayur membabitkan 3,000 hektar yang sebelum ini dimonopoli Pati, kini tinggal pekerja-pekerja yang memiliki dokumen sah.

Beberapa penduduk Orang Asli yang tinggal di perkampungan sekitar tanah tinggi itu ketika ditemui pemberita di Lojing petang semalam, berkata operasi besar-besaran pihak berkuasa memberkas Pati, menjadikan Lojing kini lengang.

Zainal Timun, 20, berkata, sebelum ini Pati boleh dikatakan berada di merata tempat sekitar Lojing, tetapi sekarang semakin berkurangan selepas polis dan Jabatan Imigresen bertindak menahan mereka.

Menyokong tindakan tegas itu, Zainal berkata kehadiran Pati menyebabkan penduduk Orang Asli sukar mencari peluang pekerjaan atau jika ada, hanya dibayar gaji yang terlalu rendah berbanding Pati.

Menurut Zainal, sikap pengusaha kebun sayur di kawasan itu yang lebih suka menggaji Pati juga menyebabkan penduduk setempat terpaksa hidup dalam kemiskinan.

"Kami sendiri tidak mempunyai pekerjaan kerana pengusaha kebun sayur menawarkan gaji rendah berbanding Pati yang diberikan gaji lebih tinggi serta disediakan tempat penginapan," katanya.

Seorang pekerja ladang sayur warga Bangladesh yang dikenali Shuimieh, 25, pula berkata beliau datang ke negara ini dengan permit perjalanan sah dan tidak gusar jika ada pihak berkuasa menjalankan operasi menangkap Pati.

Beliau yang dibayar gaji RM1,100 sebulan selepas empat tahun bekerja di ladang sayur di kawasan itu mengakui tidak menghadapi sebarang masalah dan tidak pula mengganggu penduduk Orang Asli kerana sudah berkeluarga.

Dalam pada itu, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Ab Aziz Yusof mengalu-alukan tindakan tegas pihak berkuasa menangani masalah pembukaan tanah tidak terkawal di Lojing yang membawa kesan negatif.

Beliau yang beberapa kali melawat Lojing berkata, pengusaha terbabit rakus mengusahakan ladang sayur semata-mata untuk mengaut keuntungan tanpa mengira kepentingan menjaga alam sekitar.

Tags / Kata Kunci: Pati , Bangladesh , Shuimieh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan