Setiap Keluarga Terima Wang Ihsan RM500 - Shahidan

Diterbitkan: Khamis, 11 Disember 2014 5:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 71 keluarga yang terlibat dengan kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands, November lepas menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM35,500, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata bantuan itu diberikan melalui peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

"Setiap keluarga menerima RM500, senarai nama mangsa dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah disahkan oleh pegawai daerah Cameron Highlands.

"Bantuan wang ihsan ini bukan pampasan sebaliknya ia bukti keprihatinan kerajaan persekutuan untuk mengurangkan beban mangsa yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Roslin Abdul Rahman yang ingin tahu statistik mereka yang menerima bantuan daripada kerajaan akibat banjir di Cameron Highlands baru-baru ini.

Dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands 5 November lepas, lima mangsa terkorban manakala lima lagi cedera. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Cameron Highlands , wang ihsan , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan