GAMIS Persoal Tindakan Universiti Malaya

Diterbitkan: Rabu, 10 Disember 2014 11:02 PM

Fahmi Zainol

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mempersoal tindakan Universiti Malaya (UM) menggantung dua pelajarnya pada Selasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, GAMIS mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak UM yang bukan sahaja zalim, bahkan juga membelakangi prinsip demokrasi dan keadilan di dalam universiti. 

"Pihak universiti bukan sahaja tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mensabitkan kesalahan ke atas ketujuh-tujuh mahasiswa ini, bahkan juga bahan bukti yang dikemukakan juga dilihat tidak relevan dengan pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

"Untuk rekod juga, hukuman ke atas 7 orang mahasiswa ini juga menjadikan mereka sebagai pihak yang 33 dikenakan hukuman di bawah AUKU dan undang-undang yang setaraf dengannya pada tahun ini selepas Pengerusi Pro-Mahasiswa WUFI UIAM, Mujahid bin Sulaiman yang dijatuhkan hukuman digantung 1 semester bermula semester hadapan dan amaran keras oleh pihak UIAM selepas didakwa “memalukan universiti” kerana menghadiri program Pidato Anwar Ibrahim di UM," jelas kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu, GAMIS juga berpendirian bahawa tindakan pentadbiran UM ini tidak lain hanyalah sebagai usaha untuk terus mengongkong serta “membunuh” kebangkitan mahasiswa yang tidak cenderung untuk menyokong dasar-dasar kerajaan yang tidak mesra rakyat.

"GAMIS mendesak agar Menteri Pendidikan Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletakkan jawatan bersama-sama dengan timbalan beliau kerana telah membiarkan nilai demokrasi dan hak asasi manusia terbunuh di dalam universiti. "GAMIS juga mendesak agar hukuman ke atas mahasiswa UM dan UIAM ini digugurkan serta merta". 

Pada Selasa, UM telah menggantung dan mengenakan denda terhadap dua daripada lapan pelajarnya yang dikenali sebagai UM8 kerana menganjurkan perhimpunan haram yang dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa kebenaran pihak universiti.

Mereka yang digantung ialah bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UM Fahmi Zainol dan pelajarSafwan Shamsuddin.

Selain itu, Fahmi turut dikenakan denda RM600 bagi empat pertuduhan terhadapnya dan Safwan pula dikenakan denda RM300 bagi dua pertuduhan.

Empat daripada pelajar itu dikenakan denda masing-masing RM150 dan amaran keras. 

Mereka ialah Adam Fistival Wilfrid, Muhamad Khairul Anwar Kamaruddin, Haw Yu Hong dan Nurul Syamimi Munira Mohamed.Seorang pelajar Abraham Au Tian Hui dibebaskan kerana didapati tidak bersalah bagi dua pertuduhan terhadapnya manakala seorang lagi pelajar Khairol Najib Hashim diberi amaran keras.

Tags / Kata Kunci: GAMIS , UM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan