Rumpai Beracun Hidup Subur

Diterbitkan: Selasa, 9 Disember 2014 9:34 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Parthenium hysterophorus, digelar sebagai rumpai 'paling teruk' abad ini kerana ia boleh memusnahkan flora dan tanaman, selain menyebabkan ruam yang boleh meninggalkan parut kekal serta merosakkan usus binatang yang memakannya.

Rumpai ini kali pertama dikesan di Ulu Yam, Selangor.

Bukan itu sahaja, tumbuhan yang sangat alergenik ini turut ditemui di Perak, Kedah dan Negeri Sembilan sekaligus menimbulkan kebimbangan ia telah merebak ke seluruh negara.

Kajian awal mendapati tumbuhan tersebut mempunyai keupayaan melawan sekiranya kita cuba memusnahkannyai.

Spesies tumbuhan berbunga yang berasal dari Mexico ini boleh menyebabkan penyakit kulit yang teruk dan demam panas dikalangan manusia.

Ia juga sangat berbahaya kepada haiwan ternakan seperti, kambing dan lembu, kerana ia boleh menyebabkan demam panas, ulser, anoreksia dan kerosakan usus serta boleh melepaskan bahan toksik yang menyebabkan tanaman rosak dan pekebun mengalami kerugian besar.

Mempunyai rupa bentuk seperti ulam raja, P. hysterophorus diklasifikasikan sebagai tanaman perosak berbahaya di bawah Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan ia sangat cepat membiak.

Menurut Professor Dr S. M. Rezaul Karim daripada Universiti Malaysia Kelantan, hal ini kerana tumbuhan ini adalah satu-satunya pokok yang boleh menghasilkan ratusan ribu benih dalam tempoh jangka hayatnya selama empat minggu.

"Benih ini boleh bertahan dalam tanah sehingga 10 tahun, menyebabkan agak mustahil untuk dimusnahkan," katanya.

Di Sungai Petani, beberapa kawasan telah disiram dengan racun herba, dan beberapa hari kemudian tumbuhan rumpai berkenaan mulai tumbuh subur.

"Rumpai tersebut tumbuh melata dengan sangat cepat. Anda boleh lihat contoh di beberapa negara seperti Australia, yang sanggup membelanjakan jutaan dolar setiap tahun untuk mengawal pembiakan tumbuhan ini," kata Dr Karim yang juga ketua kumpulan penyelidik UMK dalam kajian mengenai rumpai tersebut.

Menurut Dr Karim, P. hysterophorus tidak hanya bersaing dengan tumbuhan lain untuk mendapatkan nutrien, malah ia turut membebaskan bahan kimia yang turut memusnahkan tumbuhan lain.

Ia turut memberi kesan kepada manusia, dan beliau bimbang kerana tumbuhan berkenaan mudah hidup di tepi jalan di mana orang awam boleh terkena jangkitan daripada tumbuhan berkenaan.

"Kita perlu melihat berapa banyak komuniti di Malaysia yang terjejas," katanya.

"Di beberapa negara, ruam yang dialami oleh sesetengah individu memberi kesan serius hingga menyebabkan ada kesan parut kekal. Ia mengambil masa tiga bulan untuk pulih," katanya.

Semakan The Star ketika kajian lapangan di Sungai Petani mendapati rumpai berkenaan boleh tumbuh setinggi 1.2 meter di mana sahaja termasuk berhampiran restoran, sawah, kawasan perniagaan, dan tali air yang membolehkan biji benihnya merebak sekaligus memudahkan pembiakannya.

Menurut wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kawasan tersebut telah beberapa kali disembur dengan racun rumpai namun usaha tersebut hanya sia-sia.

Dalam kenyataan media yang diedarkan jabatan berkenaan turut menyenaraikan beberapa kaedah untuk mengawal penyebaran rumpai tersebut, termasuk memusnahkan rumpai berkenaan sebelum bunganya menghasilkan biji benih serta menggunakan air masin dengan nisbah 1:4 untuk menyiram pokok bunga di kawasan perumahan.

Jabatan berkenaan turut percaya rumpai berkenaan dibawa ke Malaysia melalui biji benih yang diangkut melalui mesin import dan baja.

Antara kawasan terjejas yang telah dikenalpasti ialah, Kinta, Hulu Perak, Selama, Perak Tengah, Manjung, Kuala Kangsar, Pokok Sena, Hulu Selangor, Kuala Muda, Kota Setar, Seremban dan Kuala Pilah.

Bahagian Biosekuriti Tumbuhan telah menubuhan jawatankuasa teknikal untuk mengawal pembiakan P.hysterophorus dan unit berkenaan akan mengemukakan tatacara kendalian kerja standard dan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti, memantau masalah berkaitan serta kaedah untuk memusnahkan rumpai beracun sedia ada.

Pegawai pertanian telah dimaklumkan mengenai kaedah untuk mengatasi masalah tersebut, manakala latihan untuk mengenal pasti lokasi tempat rumpai berkenaan tumbuh sedang dijalankan. 



iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan