Peluang Saksikan Pancuran Meteor Geminids Hujung Minggu Ini

Diterbitkan: Selasa, 9 Disember 2014 10:41 PM

Gambar Meteor Germinid yang diambil di Fraser Hill, Pahang pada 15 Disember 2010. -Ihsan Gradient Lok/Astro

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh menyaksikan pancuran Meteor Geminids yang berpusat di buruj Gemini pada malam Sabtu (13 Disember) dan Ahad (14 Disember) ini. 

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan hari ini berkata pancuran meteor itu telah bermula sejak 3 Disember dan dijangka berakhir pada 17 Disember, dengan kemuncaknya pada hujung minggu ini.

"Bagaimanapun, pada tahun ini, kenampakannya agak terhad kerana pada waktu yang sama bulan baru melepasi fasa bulan penuh," menurut kenyataan itu.

Pada pertengahan Disember setiap tahun, bumi akan merentasi serpihan batuan kecil yang berasal dari Asteroid 3200 Phaethon yang mana ia akan memasuki atmosfera bumi lalu terbakar dan menghasilkan jaluran-jaluran cahaya di langit yang dikenali sebagai pancuran.

"Pada kebiasaannya, orang ramai dapat melihat kira-kira 120 meteor dalam masa satu jam, namun disebabkan cahaya bulan penuh, kenampakannya akan terhad kepada 50 hingga 80 juraian sejam," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, masa terbaik untuk melihat meteor ialah bermula 8 malam sehingga terbit bulan pada jam 12 tengah malam dan tidak memerlukan sebarang alatan khas kerana ia boleh dilihat dengan mata kasar.

Angkasa juga menyarankan orang ramai supaya memilih kawasan yang kurang gangguan pencemaran cahaya dan lapang serta tidak dilindungi oleh bangunan dan pokok seperti kawasan tepi pantai dan padang.

"Untuk keselamatan, elakkan daripada pergi seorang diri, sebaiknya pergi secara berkumpulan dan laporkan kepada pihak berkuasa tentang lokasi keberadaan anda. Sekiranya keadaan langit berawan, anda mungkin tidak akan nampak kemunculan juraian meteor tersebut," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Angkasa di www.angkasa.gov.my, laman sosial Facebook Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) atau Twitter ANGKASA Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan