Kanak-Kanak Meninggal Disyaki Dijangkiti Kencing Tikus

Diterbitkan: Sabtu, 6 Disember 2014 6:24 PM

Kelihatan ahli keluarga Amirah Maisarah Zir Omar Khan, 8, meninggal dunia disyaki akibat jangkitan kencing tikus menabur bunga rampai pada pusara Allahyarhamah ketika ditemui di tanah perkuburan Islam Masjid al-Hidayah, Bukit Pinang dekat sini, pada Sabtu. Amirah meninggal dunia pada pukul 11.47 malam Jumaat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini disyaki akibat jangkitan kencing tikus selepas demam panas sejak Rabu lepas. -Foto BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Taman Pinang Merah, Bukit Pinang dekat sini meninggal dunia malam tadi disyaki akibat jangkitan leptospirosis atau penyakit kencing tikus.

Amirah Maisarah Zir Omar Khan, anak sulung daripada tiga beradik meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu sejak Rabu lepas disebabkan demam panas dan sawan.

Adik mangsa, Nur Syazana, 5, disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta manakala seorang lagi adiknya, Zaharah Alisa, 3, dan ibu mereka Siti Zaleha Ramlan, 32, turut mengalami demam.

Amirah Maisarah Zir Omar Khan.


Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata di HSB, kanak-kanak tersebut telah dirawat oleh pakar kanak-kanak dengan memberi rawatan sewajarnya, termasuk rawatan antibiotik dan antiviral.
 
"Di sebalik rawatan rapi yang diberi, dia tidak menunjukkan tindak balas yang memuaskan dan meninggal dunia pada 5 Dis 2014 (semalam) jam 11.27 malam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Norhizan berkata pemeriksaan dan ujian awal makmal HSB menunjukkan kemungkinan kejadian ini disebabkan jangkitan leptospirosis atau penyakit kencing tikus.
 
"Hospital Sultanah Bahiyah dalam tindakan menghantar sampel darah untuk dibuat ujian pengesahan jangkitan leptospirosis di makmal Institut Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Pihak hospital turut menjalankan ujian untuk demam denggi, dan keputusan awal adalah negatif," katanya.

Beliau berkata pihaknya difahamkan bahawa kanak-kanak berkenaan bersama anggota keluarganya pergi ke sebuah pusat rekreasi air di Yan untuk mandi-manda 12 hari sebelum kejadian.
 
"Pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah akan membuat siasatan terperinci ke atas ahli keluarga berkenaan untuk memastikan tahap kesihatan ahli keluarga dalam memastikan mereka diberi rawatan sewajarnya," katanya.

Dr Norhizan berkata berikutan kejadian itu, jabatan itu melalui Pejabat Kesihatan Daerah Yan dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar diarah untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong dalam satu sidang media berkata punca kematian mangsa disebabkan jangkitan kuman pada selaput otak dan kuman merebak ke seluruh organ.

Katanya Nur Syazana masih dirawat di HSB manakala Zaharah Alisa dan Siti Zaleha belum dimasukkan ke hospital.

Dr Leong berkata sehubungan itu, jika terbukti berlaku jangkitan kencing tikus di kawasan rekreasi terbabit, kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera supaya kejadian itu tidak berulang.
 
"Punca mungkin sebab ramai pengunjung buang sampah jadi tikus datang di kawasan tersebut. Masyarakat perlu jaga kawasan dan jangan buang sampah merata-rata.
 
"Kita tak boleh tutup kawasan rekreasi tu secara mendadak nanti akan datangkan kerisauan masyarakat. Saya akan minta jabatan kesihatan, perhutanan dan yang terlibat untuk pantau keadaan," katanya.

Jenazah Amirah Maisarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah, Bukit Pinang pagi ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan