Kementerian Kesihatan Lakukan Ujian Klinikal Vaksin Denggi

Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2014 9:15 PM

Datuk Seri Dr S. Subramanian bermesra dengan graduan-graduan cemerlang pada majlis Konvokesyen 2014 Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah (KSKBSAS) di Ipoh, Khamis. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kementerian Kesihatan sedang melakukan ujian klinikal terhadap vaksin denggi pertama di dunia, yang dijangka berada di pasaran pertengahan tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan terhadap vaksin itu bagi menentukan penggunaannya dalam jangka masa panjang.

"Sebelum kita memutuskan sebarang rancangan jangka panjang mengenai penggunaan vaksin ini, kita perlu meneliti kajian asalnya untuk memastikan kita mempunyai data mencukupi mengenainya," kata beliau.

Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Ke-4 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah di sini, Khamis.

Seramai 4,697 graduan dari 33 ILKMM menerima diploma lanjutan, diploma dan sijil masing-masing pada konvokesyen itu. 

Menurutnya jika Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menggunakan vaksin itu, pihaknya akan melakukan ujian lapangan terlebih dahulu sebelum ujian secara meluas dilakukan di kawasan mencatatkan kes denggi yang tinggi seperti Lembah Klang.

Dr Subramaniam berkata setakat ini, kebanyakan kes denggi yang dilaporkan melibatkan kumpulan umur 25 tahun dan ke atas.

Mengenai statistik denggi setakat ini, beliau berkata, kes itu menurun kepada 2,300 setiap minggu berbanding 3,000 kes pada Ogos dan September lepas.

"Kempen perangi denggi yang kita bertujuan mengurangkan kes denggi daripada mencecah 3,000 dan kita telah capai sasaran itu. Saya harap jumlah itu berkurangan kepada 1,500 kes," katanya.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, kerajaan bercadang menambah tempat latihan perubatan kerana Unit Kecemasan di hospital-hospital kerajaan memerlukan ramai pegawai penolong perubatan.

"Kepakaran bagi sesetengah perkhidmatan dalam bidang kesihatan sangat diperlukan khususnya di kawasan luar bandar. Agenda utama kerajaan ialah memberikan perkhidmatan terbaik dan menyediakan sumber manusia yang mencukupi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan