Anwar Didesak Letak Jawatan Penasihat Ekonomi Selangor

Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2014 9:31 PM

Anwar Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meletakkan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor berikutan keputusan Sultan Selangor menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor menjunjung penuh keputusan Sultan Selangor tersebut.

Susulan penarikan balik darjah kebesaran itu, Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsuddin Lias, yang mewakili 11 Adun BN lain, mendesak Anwar meletakkan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Beliau berkata, penarikan balik Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Anwar adalah tindakan wajar dengan mengambil kira tindakan beliau yang sengaja menimbulkan krisis jawatan Menteri Besar Selangor sejak akhir tahun lepas.

"Justeru, kami Adun BN berpendapat penarikan darjah kebesaran ini dibuat berdasarkan kuasa dan hak mutlak Tuanku Sultan.

"Beliau (Anwar) patut meletakkan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor," katanya pada sidang berita di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Khamis.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pada Khamis, berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah
kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri ke atas Anwar berkuat kuasa 3 November lepas.

Beliau berkata tindakan itu dibuat atas perlakuan Anwar sejak akhir tahun 2013 yang mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor serta institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor pada tahun ini.





iklan

Kolumnis

iklan

Iklan