Setem Bersadur Emas Pertama Di Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2014 1:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peminat setem di negara ini berpeluang mendapatkan koleksi setem bersadur emas yang dikeluarkan buat pertama kalinya di negara ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Berhad, Diyana Lean Abdullah berkata setem bertemakan 'Baba & Nyonya' itu boleh didapati pada harga RM50 sekeping.

"Setem bersadur emas ini pertama kali dikeluarkan di negara ini. Ia adalah susulan pengeluaran setem tersebut dalam bentuk kertas pada November tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Setem Belia Dunia Kuala Lumpur (KLwyse) 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Selasa.

Diyana berkata, setem tersebut memaparkan motif buah-buahan tempatan sulaman kebaya Nyonya iaitu pakaian tradisional Peranakan Cina di Melaka yang boleh digunakan untuk tujuan pengeposan.

Bagaimanapun, katanya, setem tersebut adalah terhad kerana dicetak sebanyak 5,000 keping sahaja dan boleh didapati bermula Selasa.

Diyana menunjukkan setem sulaman Kebaya Nyonya yang bersadur emas dan berbentuk kertas.

"Setem ini amat terhad. Jadi bagi peminat setem bolehlah datang ke ruang legar pameran setem antarabangsa ini bermula hari ini (Selasa)," katanya.

Jelas beliau, sambutan terhadap setem tersebut amat memberangsang dan ia akan menjadi antara setem paling laris sepanjang pameran yang akan berakhir Sabtu ini.

"Saya percaya setem ini memang akan jadi rebutan. Ini kerana ia (bersadur emas) pertama kali dikeluarkan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Diyana berkata setem Empat Annas (empat dominasi) iaitu Separuh Anna, Satu Anna, Dua Anna dan Empat Annas antara yang terawal digunakan dalam negeri-negeri Selat dicetak semula bagi memperingati genap 160 tahun penggunaan setem di Malaysia.

"Setem tersebut antara yang terawal digunakan di Malaysia, kira-kira 160 tahun dahulu. Ia susah dijumpai dan kita cetak semula pada kali ini," katanya.

Beliau berkata, setem tersebut yang juga milik seorang warganegara Singapura itu mampu mencecah $AS1.5 juta di pasaran.

Setem bertemakan 160 tahun penggunaan setem di Malaysia.

"Koleksi setem Empat Annas itu hanya dicetak sebanyak 60,000 keping sahaja. Jumlahnya juga amat terhad. Bagi peminat setem, saya syorkan datanglah ke pameran ini untuk mendapatkan koleksi ini," katanya.

Koleksi setem Empat Annas itu boleh didapati pada harga RM1, RM2 dan RM3.

Pameran yang berlangsung di KLCC bermula 1 hingga 6 Disember ini mempamerkan lebih 100,000 koleksi setem termasuk setem wajah Queen Victoria ketika berumur 15 tahun yang digunakan di Negeri-negeri Selat yang berusia 160 tahun. 

Selain itu, lima set setem lembaran mini khas turut dikeluarkan pada setiap hari pameran dengan tema berbeza iaitu Bangunan Warisan, Flora, Fauna, Tarian Kebudayaan dan Cerita Legenda Melayu. 


Tags / Kata Kunci: setem , Pos Malaysia , Diyana Lean Abdullah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan