Kekurangan RON97 Bukan Salah Pengusaha Stesen Minyak - Hashim

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2014 9:11 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengusaha stesen minyak sudah naik muak dipersalahkan di atas kekurangan stok bekalan petrol RON97 dan menegaskan masalah itu berpunca daripada syarikat minyak.

Presiden Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata syarikat minyak tidak menyediakan bekalan mencukupi dan tiada sebab pengusaha stesen minyak enggan menjual petrol RON97.

"Jika kami tidak menjualnya, kami tidak memperoleh pendapatan. Ia semudah itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata adalah tidak adil syarikat minyak mendiamkan diri mengenai kekurangan petrol RON97 kerana bekalan minyak itu kehabisan stok kira-kira tiga hari sebelum 1 Disember.

Pada 1 Disember, kerajaan menghapuskan subsidi bahan api untuk RON95 dan diesel serta menggunakan sistem pengapungan terkawal yang mencatatkan sedikit perbezaan antara harga petrol RON95 (RM2.26 seliter) dan RON97 (RM2.46 seliter).

Ini menyebabkan ramai pengguna memilih untuk membeli RON97 dengan kebanyakan stesen minyak kehabisan bekalan stok bahan api itu.

Hashim menggesa pengguna untuk membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika terdapat stesen minyak yang menggantung tanda petrol RON97 'tiada stok'.

"Pengusaha stesen minyak sepatutnya mempunyai bekalan yang mampu bertahan selama tiga hari dan lesen kami boleh ditarik balik jika petrol kehabisan stok.

"Kami (pengusaha stesen minyak) tidak mahu disalahkan atas sesuatu kesilapan yang bukan dilakukan oleh kami," katanya.

Sementara itu, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dalam satu kenyataan mengesahkan beberapa stesen minyaknya di Semenanjung Malaysia mengalami kekurangan V-Power 97 berikutan permintaan tinggi. 

"Kami sedang berusaha untuk memulihkan bekalan di kawasan yang terjejas dan komited untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan kami," demikian menurut syarikat tersebut pada Isnin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, bekalan RON97 akan pulih menjelang hujung minggu ini.

"Kami sedang berbincang dengan pengusaha stesen minyak dan syarikat minyak. Mereka memberi jaminan isu ini akan diselesaikan dengan segera.

"Terdapat kira-kira 130 daripada 3,600 stesen minyak di seluruh negara kehabisan stok RON97.

"Pengusaha stesen minyak harus memastikan mereka memperoleh lebih banyak stok RON97 tetapi sebarang bekalan tambahan akan memakan sedikit masa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Kempen Kembali Ke Sekolah di pusat beli-belah Aeon AU2 Setiawangsa di sini, Selasa.

Beliau turut menasihati pengguna supaya menghubungi kementeriannya di talian 1800-886-800 untuk mengemukakan sebarang aduan mengenai masalah kekurangan petrol RON97.

Tags / Kata Kunci: RON97 , Hashim Othman , PDAM

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan