TV Pengguna Mula Bersiaran Januari 2015

Diterbitkan: Selasa, 2 Disember 2014 9:37 PM

Azmi Mohd Noor (kiri) bergambar kenangan bersama barisan artis dan penaja pada majlis memperkenalkan siaran TV Pengguna dan Festival Pengguna 2015 di Kuala Lumpur, Selasa. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: TV Pengguna, stesen televisyen digital pertama berkonsepkan informasi dan pendidikan kepenggunaan, akan bersiaran selama 24 jam di pusat-pusat beli-belah dan kawasan tumpuan awam di seluruh negara bermula 9 Januari depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif TV Pengguna, Azmi Mohd Noor berkata, stesen televisyen itu akan menyebarkan maklumat mengenai perkembangan aktiviti kepenggunaan melalui pelbagai rancangan berbentuk hiburan dan pengiklanan. 

TV Pengguna yang bertemakan 'Media Informasi Kepenggunaan' disampaikan secara dwibahasa bermula dengan topik kepenggunaan pada 7 pagi hingga 11 pagi disusuli segmen panduan pengguna dari 11 pagi hingga 3 petang.

"Segmen produk pengguna yang memasarkan produk-produk berkualiti pula disiarkan bermula dari 3 petang hingga 7 malam, dan segmen destinasi pengguna yang memperkenal tempat-tempat pelancongan dalam negara disiarkan dari 8 hingga 12 tengah malam.

"Dari 12 tengah malam hingga 6 pagi pula, kami menyiarkan rancangan bersama selebriti terkenal tanah air," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Azmi berkata, stesen itu juga akan memberikan panduan membeli-belah secara berhemat dan aduan pengguna dalam rancangan sebelah pagi kepada penonton.

TV Pengguna juga akan membekalkan maklumat mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dalam bentuk iklan.

"Memandangkan ramai yang tidak memahami tentang CBP yang akan dilaksanakan pada April 2015, kami rasa perlu untuk membekalkan seberapa banyak maklumat mengenainya untuk didedahkan kepada orang awam," katanya.

TV Pengguna, yang mula beroperasi sejak September lepas, boleh ditonton menerusi laman web www.tvpengguna.com dan memuat turun aplikasi TV Pengguna melalui telefon pintar. 

Ia juga boleh ditonton menerusi pejabat agensi kerajaan dan kawasan pengangkutan awam seperti di atas LRT dan bas yang beroperasi sekitar Lembah Klang.

Dengan slogan 'Semuanya Untung', TV Pengguna merupakan stesen televisyen milik swasta yang mendapat kerjasama dan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam membekalkan maklumat dan pengiklanan.

Tags / Kata Kunci: TV Pengguna

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan