Pakar, Guru Mandarin Dari China Di Bawa Masuk Ke Malaysia Tidak Lama Lagi

Diterbitkan: Selasa, 2 Disember 2014 9:05 AM

(Ubah saiz teks)

BEIJING: China telah memberi respons positif terhadap cadangan Malaysia yang mahu membawa masuk guru Mandarin dari negara itu untuk berkhidmat di sekolah-sekolah kebangsaan di Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, yang berada di China untuk lawatan rasmi selama enam hari berkata, beliau membangkitkan cadangan itu semasa mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Naib Perdana Menteri China, Zhang Gaoli dan Menteri Pendidikan China Yuan Guiren, di sini, Isnin.

"Pegawai-pegawai dari kedua-dua negara akan melihat butiran, seperti bilangan guru dan pakar bahasa yang boleh ditawarkan oleh China," katanya.

"Saya mencadangkan program itu bermula tahun depan."

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, telah menimbulkan kepentingan pelajar menguasai bahasa ketiga semasa perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Beliau mencadangkan agar 30,000 jawatan guru bahasa diwujudkan di sekolah kebangsaan.

"Kerjasama dengan China akan membolehkan kita untuk mempercepatkan proses itu," katanya.

Muhyiddin berkata beliau juga mengemukakan permintaan untuk mendapatkan pakar-pakar Matematik dari China dalam usaha untuk meningkatkan tahap mengenal angka di Malaysia.

"Terdapat 500 guru Matematik Cina di Britain dan kita mengharapkan kerjasama yang serupa dengan China," katanya.

Selain pendidikan, Muhyiddin berkata beliau membincangkan isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama dengan kedua-dua pemimpin itu.

"Zhang telah membuat banyak cadangan untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama ekonomi, termasuk memperbanyakkan perusahaan milik negara China untuk melabur di Malaysia," katanya.

Muhyiddin,  tiba di China pada Ahad, atas jemputan Zhang.

Beliau diiringi oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong.

Liow berkata beliau mengalu-alukan cadangan untuk membawa masuk guru bahasa Mandarin dan Matematik dari China.

"Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia sedar akan kepentingan bahasa Mandarin," katanya.

"Walaupun mengalu-alukan pakar Mandarin dari China ke Malaysia, kita akan terus melatih guru-guru Cina tempatan untuk memastikan bahawa pendidikan Cina terus maju," kata Liow, yang juga Presiden MCA.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan