Siasat Larangan Pakai Lambang Agama Di Sekolah - Pemuda BN Sabah

Diterbitkan: Isnin, 1 Disember 2014 7:46 PM

Yamani Hafez Musa

Yamani Hafez Musa.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah meminta supaya Kementerian Pendidikan menyiasat dakwaan sebuah sekolah di kawasan pedalaman Keningau yang melarang pelajarnya daripada memakai simbol keagamaan, termasuk lambang salib.

Ketuanya, Yamani Hafez Musa berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap sekolah menengah berkenaan dan guru yang terbabit sekiranya dakwaan itu adalah benar.

Katanya, beliau terkejut membaca laporan sebuah akhbar tempatan di sini mengenai dakwaan ibu bapa pelajar SM Ken Wah dimaklumkan anak-anak mereka mengenai larangan pemakaian simbol keagamaan di bawah garis panduan daripada Kementerian Pendidikan.

"Larangan seumpama itu bukan sahaja bertentangan dengan Perjanjian Penubuhan Malaysia mengenai kebebasan beragama, tetapi telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah," katanya.

Beliau berkata, garis panduan itu sepatutnya tidak mengandungi perkara-perkara berkaitan agama kerana ia boleh menyentuh sensitiviti masyarakat.

Dilaporkan bahawa mereka yang tidak mematuhi peraturan itu akan diberikan kaunseling dan disebat atau digantung persekolahan sekiranya terus melanggarnya.

Peraturan itu disenaraikan di bawah perkara 'Kebersihan Diri' yang menyatakan bahawa "pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai barang kemas dan tanda keagamaan" (simbol keagamaan seperti Salib untuk penganut agama Kristian).

Pelajar-pelajar bukan Islam, terutama beragama Kristian perlu mendapatkan kebenaran daripada lembaga disiplin sekolah terlebih dahulu sekiranya mereka mahu memakai lambang salib. Perkara itu disahkan oleh seorang guru di sekolah tersebut.

Pelajar yang mendapatkan kebenaran itu akan dikeluarkan Pas Kebenaran yang perlu dibawa bersama mereka di sekolah.

"Ia merupakan satu kejutan buat kita semua di Sabah yang mana rakyatnya dikenali dengan toleransi yang baik, memahami dan menghormati kepercayaan agama lain, yang menjadi faktor keamanan dan keharmonian yang dinikmati mereka sekarang.

"Perkara ini perlu disiasat dan dihentikan," katanya.

Hafiz yang juga Ketua Pemuda Umno Sabah berkata, semua sekolah sepatutnya menjadi tempat kepada anak-anak mempelajari untuk menghormati agama dan kaum lain.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan