Malaysia Diterima Anggota Penuh Pasukan Siasatan Bersama MH17

Diterbitkan: Isnin, 1 Disember 2014 8:48 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia diterima sebagai anggota penuh Pasukan Siasatan Bersama MH17 yang tertumpu kepada siasatan jenayah susulan nahas yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu.

Jabatan Peguam Negara pada Isnin menyatakan bahawa anggota asal pasukan siasatan itu ialah Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine.

Penerimaan Malaysia sebagai anggota penuh dan setaraf dalam pasukan siasatan itu dimaklumkan oleh Pejabat Pendakwa Raya Kebangsaan Belanda melalui surat bertarikh 28 November lepas yang diterima Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada Isnin.

"Sebagai sebahagian daripada proses siasatan jenayah bersama antarabangsa yang sedang dijalankan, Peguam Negara akan belepas ke The Hague pada Rabu untuk menghadiri Mesyuarat Koordinasi Eurojust Ketiga mengenai siasatab jenayah itu yang dijadualkan pada 4 Dis," kata kenyataan Jabatan Peguam Negara di sini.

Mesyuarat itu akan turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Pesawat Boeing 777 dipercayai ditembak jatuh di wilayah timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur.

Tragedi itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 44 rakyat Malaysia.

Tags / Kata Kunci: Pasukan Siasatan Bersama MH17 , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan