Sektor Pertanian Akan Terus Diperkasa - Muhyiddin

Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 3:15 PM

Muhyiddin (tiga, kiri) ketika melawat ke ruang pameran selepas merasmikan Majlis Penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Serdang pada Ahad. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad memberi jaminan bahawa sektor pertanian akan terus diperkasakan agar kekal menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara. 

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun peratusan dari segi sumbangan tidak lagi sebesar masa lalu, namun ia menjadi lebih penting selaras komitmen kerajaan memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.
 
"Atas kesedaran bahawa sektor pertanian merupakan sektor ekonomi yang strategik serta melibatkan faktor sosial khususnya kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara, kerajaan akan terus beri tumpuan perkasakan sektor pertanian dan agro-makanan bagi menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat. 

"Dengan jumlah penduduk Malaysia yang kian bertambah dan tuntutan global terhadap bekalan makanan, saya yakin bidang pertanian akan terus kekal menjadi sektor ekonomi yang penting bagi negara," katanya ketika berucap pada majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini. 

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalannya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. 

Bagi memastikan bidang itu terus berkembang seiring pembangunan negara, Muhyiddin mahu segala inisiatif untuk memodenkan sektor pertanian yang telah dimulakan kementerian dan agensi berkaitan diteruskan dengan memperkenalkan pelbagai teknologi dan inovasi terkini yang boleh mendokong usaha yang dilaksanakan pemain industri pertanian. 

Beliau berkata pasaran yang terbuka memerlukan negara mempertingkatkan produktiviti dan mengurangkan kos khususnya melalui penggunaan teknologi dan kaedah pengeluaran terkini serta pengamalan budaya inovasi di mana Malaysia kini telah berada di landasan betul bagi terus memperkasa teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian dan agro makanan. 

Katanya kadar pengkormersialan teknologi dan inovasi pertanian dan industri asas tani ialah sebanyak 14 peratus, jauh lebih tinggi berbanding purata nasional 7 peratus dengan nilai pengkormersialan sebanyak RM1.5 bilion.
 
Timbalan perdana menteri berkata penghasilan teknologi yang berkemampuan menyelesaikan masalah di lapangan atau lokasi pertanian merupakan antara faktor penting yang menyumbang kepada impak peningkatan hasil dan ia boleh dicapai dengan cara usahawan pertanian menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi negara. 

Dalam pada itu, Muhyiddin menarik perhatian bahawa penganjuran MAHA, satu pameran terbesar yang mempamerkan kejayaan dalam bidang pertanian atau industri berasaskan pertanian adalah antara bukti bahawa kerajaan masih memberikan perhatian yang penting kepada pembangunan sektor pertanian. 

Muhyiddin berkata sektor pertanian banyak membantu menyumbang dalam menyediakan peluang pekerjaan dalam bilangan yang cukup besar dan untuk itu adalah penting ia terus dibantu agar mereka yang terlibat memiliki masa depan yang lebih terjamin.
 
Beliau juga mahu slogan 'Pertanian Adalah Perniagaan' yang diperkenalkannya semasa mengetuai Kementerian Pertanian sebelum ini dihayati semua petani dalam erti kata lebih luas bahawa mereka bukannya sekadar petani tetapi adalah pengusaha pertanian yang boleh memainkan perananan membantu perkembangan ekonomi negara. 

"Petani, penternak dan nelayan jangan bimbang, pertanian akan terus kekal jadi sektor utama negara...teruskan usaha di samping perkenalkan teknologi dan inovasi yang akan jamin kelangsungan sektor ini," katanya. 

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin menyarankan supaya tapak dan fasiliti MAHA digunakan semaksimum mungkin bagi tujuan penganjuran pelbagai pameran lain berikutan prasarananya yang baik serta telah dikenali di luar negara. 

"MAHA mempunyai banyak tarikan dan kemudahan serta telah dikenali di peringkat antarabangsa dan ia boleh menampung keperluan tempat pameran sedia ada seperti KLCC, PWTC, MINES yang sememangnya tidak mencukupi untuk mengadakan pameran pertanian, jentera berat atau bidang pertahanan," katanya. 
Tags / Kata Kunci: Muhyiddin Yassin , MAHA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan