PAU 2014: Umno Tuntut Jawatan Menteri Sumber Manusia

Diterbitkan: Sabtu, 29 November 2014 11:22 AM

Wakil Pemuda Umno, Saiful Hazizy menyampaikan perbahasan usul ekonomi sempena Perhimpunan Agung Umno ke-68 di PWTC di sini, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda pada Perhimpunan Agung Umno 2014 menuntut supaya portfolio jawatan menteri sumber manusia dikembalikan kepada wakil parti itu bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ketika membahaskan usul ekonomi, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, diskriminasi kerjaya dalam sektor swasta terhadap kaum Melayu dan Bumiputera perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

"Mereka tidak pernah cuba membantu atau mengambil peduli isu ketidakseimbangan kaum dalam sektor korporat. Diskriminasi terhadap Melayu semakin menjadi-jadi.

"Kalau boleh saya cadangkan, mungkin sudah tiba masanya, jawatan menteri sumber manusia dikembalikan kepada wakil Umno dengan harapan agenda Melayu dapat diperjuangkan secara lebih jelas dan nyata di dalam sektor perjawatan," katanya pada Sabtu.

Katanya, kajian Chr. Michelsen Institute (CMI) pada 2005 mendapati bayaran kepada Bumiputera yang mempunyai jawatan, kelayakan akademik dan pengalaman yang sama dalam sesuatu industri adalah 32 peratus lebih rendah daripada kaum Cina.

Ketika ini portfolio jawatan Menteri Sumber Manusia disandang Datuk Seri Richard Riot Jaem yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Sebelum ini jawatan berkenaan pernah dipegang oleh Datuk Seri S. Subramaniam (2008) dan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (2003).


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan